KOTA BHARU: UMNO Kelantan hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Parlimen daripada DAP, Tony Pua, berhubung kenyataannya dalam Facebook yang didakwa sebagai mempertikaikan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Baca juga: Malaysia fokus kembangkan perdagangan, pacu pertumbuhan ekonomi
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, berkata ia berkait kuasa prerogatif baginda sebagaimana termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan bagi perkenan lega hukum terhadap keputusan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“UMNO Kelantan mengecam sekeras-kerasnya perlakuan membocorkan minit mesyuarat SULIT Lembaga Pengampunan (Pua dakwa ia sudah dinyahklasifikasikan).
“Pihak Peguam Negara perlu memberi penjelasan dan bertanggungjawab sepenuhnya (dakwaan) perilaku tidak berintegriti ini dengan niat disengajakan untuk memalukan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, UMNO Kelantan berpandangan kenyataan itu menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Raja-Raja Melayu, sekali gus melanggar garis merah dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, katanya, Menteri Dalam Negeri perlu tegas dan mengambil tindakan serta siasatan rapi terhadap perbuatan berkenaan.
Terdahulu, Pua dilapor kongsikan beberapa muka surat kandungan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang didakwa sudah dinyahklasifikasikan, melalui akaun Facebook miliknya.
Menurut minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang didakwa dinyahklasifikasikan itu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
© New Straits Times Press (M) Bhd