LATEST

Aktif buat kerja rumah, jaga pemakanan rahsia Amy Search sihat

Aktif buat kerja rumah, jaga pemakanan rahsia Amy Search sihat

Kuala Lumpur: Penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search bersyukur apabila dikurniakan kesihatan yang baik meskipun usianya kini menghampiri 70 tahun.

Justeru, foto dirinya mengunjungi hospital yang tular, baru-baru ini bukan disebabkan masalah kesihatan dan tidak perlu dibimbangi.

Baca juga: Harga RON95, RON97, diesel tanpa subsidi turun

Sebaliknya, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, kunjungan itu bertujuan menjalani pemeriksaan kesihatan rutin bagi memastikan keadaan jantung serta anggota badannya berada pada tahap baik.

Menurutnya, pemeriksaan kali ini membabitkan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan angiogram bagi menilai keadaan jantung serta mengesan sebarang masalah kesihatan.

“Setiap tahun saya akan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk melihat keadaan jantung dan anggota badan lain. Kali ini saya menjalani CT scan dan angiogram bagi memastikan semuanya dalam keadaan baik.

“Saya menghubungi doktor pakar yang saya kenal, Datuk Dr Izzani, dan menyatakan hasrat untuk menjalani pemeriksaan jantung. Jika ada masalah, saya mahu terus menjalani prosedur angiogram.

“Alhamdulillah, semuanya okey,” katanya ketika ditemui pada sidang media A Night Of Soul, di sini, semalam.

Mengulas rutin penjagaan kesihatan, Amy berkata, dia tidak mengamalkan senaman khusus, sebaliknya lebih gemar melakukan pelbagai kerja rumah sebagai cara untuk kekal aktif dan mengeluarkan peluh.

Menurutnya, aktiviti harian seperti menaiki dan menuruni tangga serta menguruskan tanaman sudah memadai untuk memastikan tubuhnya sentiasa bergerak.

“Kalau tidak bekerja, rutin saya dari pagi sampai petang memang buat kerja rumah saja. Saya suka buat kerja rumah sampai berpeluh. Kadang-kadang naik turun tangga, uruskan pokok dan macam-macam lagi.

“Ada saja kerja yang hendak dibuat sampai orang rumah pun bising kerana saya tidak habis-habis buat kerja. Bagi saya, itu pun satu cara untuk bergerak aktif,” katanya.

Bercerita mengenai pemakanan pula, Amy mengakui tidak terlalu mengawal pengambilan makanan, sebaliknya lebih selesa mengikut keperluan tubuh dan selera.

Malah, katanya, ada kalanya dia memilih untuk tidak mengambil nasi sepanjang minggu selain tidak memaksa diri menikmati makan tengah hari sekiranya masih kenyang selepas bersarapan.

“Tak adalah jaga sangat. Saya makan okey-okey saja. Kadang-kadang saya fikir minggu ini tidak payah makan nasi.

“Kalau sarapan dan sudah kenyang, tengah hari pula tidak rasa lapar, saya tidak makan, kemudian petang baru makan.

“Waktu malam pula jarang makan berat. Biasanya sebelum Maghrib saya makan sedikit. Kalau tengok televisyen, adalah makan kerepek. Bukanlah kata saya terlalu menjaga dan hanya makan makanan sihat saja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news