BERLIN: Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany kembali menjalankan tugas selepas dimasukkan ke hospital bulan lalu akibat mengalami kerengsaan pada selaput otak.
Baca juga: Negara Asia Murah Untuk Travel: 5 Pilihan Ikut Bajet
Kelab juara Bundesliga itu mengesahkan pengendali dari Belgium berusia 40 tahun berkenaan akan kembali berdepan media pada sidang akhbar, esok, menjelang aksi liga menentang Cologne, Jumaat ini.
Kompany dikejarkan ke hospital selepas rebah ketika sesi latihan di Munich bulan lalu sebelum disahkan mengalami masalah kesihatan berkenaan.
Bekas pemain Manchester City itu kembali ke pusat latihan Bayern minggu ini, sekali gus memberi petanda positif terhadap tahap pemulihannya.
Sebelum itu, Kompany dilihat tidak sihat dan berjalan tempang ketika Bayern membelasah RB Leipzig 6-1 di laman sendiri pada pertengahan Oktober lalu.
Kehadirannya turut menjadi tanda tanya menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Arsenal empat hari kemudian, namun beliau tetap berada di bangku simpanan ketika kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Dua hari selepas perlawanan itu, Kompany rebah ketika sesi latihan sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd