Barcelona: Bekas pemain tengah Sepanyol, Juan Mata mengumumkan persaraan daripada bola sepak profesional pada usia 38 tahun, sekali gus menamatkan perjalanan karier yang menyaksikannya menjulang pelbagai trofi utama di peringkat kelab dan antarabangsa.
Baca juga: Ketelusan Trump urus dana minyak Venezuela diragui
Mata, yang pernah menyarung jersi Chelsea dan Manchester United, membuat pengumuman itu menerusi media sosial, hari ini selepas meninggalkan kelab Australia, Melbourne Victory pada September lalu.
“Kadangkala, untuk mencintai… kita perlu melepaskan. Terima kasih bola sepak,” tulisnya ketika mengumumkan keputusan berkenaan.
Pemain kelahiran Sepanyol itu adalah sebahagian daripada skuad La Roja yang menjuarai Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sebelum membantu negara itu merangkul kejuaraan Euro 2012.
Mata mula mencipta nama bersama Valencia sebelum menyertai Chelsea pada 2011, dengan membantu kelab London itu menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2012 selain beberapa kejuaraan lain.
Beliau kemudian menyertai Manchester United pada 2014 sebelum meneruskan karier bersama Galatasaray di Turkiye, Vissel Kobe di Jepun, Western Sydney Wanderers dan Melbourne Victory.
Bagaimanapun, persaraan daripada bola sepak profesional tidak bermakna Mata akan meninggalkan sukan yang menaikkan namanya itu.
“Bola sepak tidak akan pernah meninggalkan hidup saya.
“Ada banyak cara untuk terus mencintai permainan ini dan menjadikannya wadah pembangunan.
“Saya mungkin berhenti bermain secara profesional, tetapi tidak akan pernah berhenti menjadi pemain bola sepak,” katanya menerusi laman web peribadinya.
Malah, Mata masih mempunyai hubungan dengan Melbourne Victory selepas mengambil pegangan saham minoriti dalam kelab itu.
Selain itu, beliau turut memiliki pegangan saham dalam pasukan Formula Satu (F1), Alpine dan kelab Major League Soccer (MLS), San Diego FC.
Di luar padang, Mata turut aktif dalam kerja kebajikan apabila mengasaskan Common Goal pada 2017, sebuah inisiatif yang menggalakkan pemain bola sepak menyumbangkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada gaji mereka kepada badan kebajikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd