LATEST

LBS raih hasil RM961.7 juta bagi tempoh sembilan bulan

LBS raih hasil RM961.7 juta bagi tempoh sembilan bulan

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd (LBS), pemaju hartanah terkemuka pilihan rakyat, terus memperkukuh perancangan pembangunannya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026.

Baca juga: Harga RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi dan diesel turun 15 sen

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama kepada prestasi kumpulan, disokong oleh peningkatan sumbangan daripada segmen pembinaan dan perdagangan.

Bagi suku yang dikaji, LBS mencatat hasil sebanyak RM324.7 juta, keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM34 juta, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM16.6 juta.

Segmen pembangunan hartanah kekal menyumbang hasil sebanyak RM268.6 juta dan PBT sebanyak RM28.3 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM961.7 juta, PBT sebanyak RM102.4 juta dan PATMI berjumlah RM48.7 juta.

Prestasi kewangan ini disokong oleh aktiviti pembangunan hartanah yang sedang giat berjalan, dan didorong oleh peningkatan sumbangan daripada segmen pembinaan dan aktiviti perdagangan.

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, merangkumi kira-kira 85 peratus daripada jumlah hasil bagi sembilan bulan tahun kewangan 2026.

Segmen ini menjana hasil sebanyak RM814.7 juta dan PBT sebanyak RM95 juta, dengan sumbangan utama daripada projek LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth di Selangor, serta Centrum Iris di Cameron Highlands.

LBS terus memacu kemajuan projek-projek yang sedang dilaksanakan di samping membuat persiapan bagi pelancaran projek-projek baharu untuk menyokong fasa pertumbuhan kumpulan yang seterusnya.

Sehingga 17 November 2026, kumpulan telah mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM971 juta dan tempahan jualan berjumlah RM345 juta.

Sementara itu, jualan belum dibilkan kumpulan berjumlah RM1.03 bilion setakat 31 Oktober 2026, sekali gus memberikan keterlihatan terhadap pengiktirafan hasil pada masa hadapan seiring dengan perkembangan kerja-kerja pembinaan.

Dengan sokongan bank tanah yang luas berjumlah 3,893 ekar setakat 17 November 2026, LBS kekal fokus dalam meneroka dan merealisasikan peluang pembangunan pada masa hadapan, dengan memberi keutamaan kepada projek-projek yang memenuhi permintaan pasaran serta mempunyai potensi pertumbuhan mampan untuk jangka panjang.

Mengulas mengenai prestasi kumpulan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr Lim Hock San berkata, pembangunan hartanah kekal sebagai teras perniagaan dan peningkatan sumbangan daripada segmen pembinaan dan perdagangan terus memberikan sokongan tambahan kepada pendapatan kumpulan.

“Kami melihat permintaan yang memberangsangkan bagi pembangunan seperti Taman Industri Alam Perdana dan Centrum Iris, sambil mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam pelancaran projek serta aktiviti pembangunan kami,” katanya.

Beliau berkata, Di KITA @ Cybersouth, pemeteraian perjanjian penyewaan bersama MYDIN bagi pembukaan pasar raya pertama di perbandaran itu merupakan satu lagi perkembangan positif dalam memperkukuh ekosistem komersial kawasan terbabit, sekali gus melengkapi pembangunan KITA Avenue Square yang sedang berjalan.

Sementara itu, katanya The Reserva di Kwasa Damansara kekal sebagai antara tumpuan utama, dengan fasa pertamanya disasar untuk diperkenalkan pada 2027.

“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8.3 bilion, kami percaya projek ini berpotensi menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan, di samping peluang pembangunan lain di lingkungan bank tanah kami yang ekstensif.

“Kami turut melihat potensi yang memberangsangkan di KLOOP, satu lagi projek pembangunan komersial multi-fasa yang bakal dibangunkan di Klebang, Melaka, dengan anggaran GDV melebihi RM400 juta.

“Terletak secara strategik di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka, pembangunan seluas 27.3 ekar ini dirancang sebagai destinasi komersial dan gaya hidup yang dinamik bagi memperkukuh portfolio pembangunan komersial jangka panjang kumpulan.

“Kami juga menyambut baik cadangan pelanjutan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama di bawah Belanjawan 2027 sehingga 31 Disember 2030, yang dijangka dapat mengurangkan kos awal pemilikan rumah serta menyokong permintaan terhadap kediaman mampu milik dan segmen pasaran pertengahan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata keutamaan kumpulan adalah untuk menterjemahkan peluang pembangunan ini kepada hasil yang nyata melalui pelaksanaan projek berkesan, penawaran produk bersesuaian dengan pasaran serta strategi pelancaran yang tepat pada masanya.

“Kami kekal komited untuk memperkukuh asas pendapatan kumpulan secara berperingkat dan memberi nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news