LATEST

Shaqeem buru gelaran Remaja All-Stars pada penampilan terakhir

Shaqeem buru gelaran Remaja All-Stars pada penampilan terakhir

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: SUK Negeri Sembilan tidak terima maklumat surat peletakan jawatan Menteri Besar

Kuala Lumpur: Pemain kebangsaan, Shaqeem Izwan Teh bertekad memanfaatkan peluang terakhirnya untuk memburu kejuaraan kategori terbuka lelaki pada Kejohanan Remaja Antarabangsa All-Stars ke-26 di Sunway Mega Lanes, bulan depan.

Pemain berusia 22 tahun itu yang muncul naib juara tahun lalu selepas tewas kepada wakil Korea Selatan, Kim Soo Han, mengakui misi kali ini cukup bermakna selepas menyertai kejohanan berkenaan sejak berusia tujuh tahun tanpa pernah memenangi gelaran utama itu.

Shaqeem yang pernah menjuarai kategori bawah 12 tahun berkata, kegagalan mengawal tekanan pada aksi final tahun lalu menjadi pengajaran penting menjelang penampilan terakhirnya dalam kejohanan berkenaan.

“Sudah tentu saya berasa sedikit tertekan kerana ini tahun terakhir saya dan masih belum pernah memenangi gelaran terbuka lelaki.

“Tahun lalu, saya gagal mengawal tekanan ketika beraksi di Sunway. Saya berharap dapat bermain lebih baik dan mengendalikan tekanan dengan lebih matang kali ini.

“Saya menyasarkan gelaran ini sejak berusia 16 tahun. Tahun lalu saya hampir mencapainya, jadi harap kali ini impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Malah, Shaqeem menegaskan tumpuannya bukan kepada ganjaran wang tunai RM30,000 yang menanti juara, sebaliknya mahu memastikan impiannya menjulang trofi akhirnya tercapai.

“Saya hanya menyasarkan kejuaraan. Saya tidak terlalu memikirkan wang hadiah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain kebangsaan, Adania Mohd Redzwan turut membawa misi tersendiri selepas pernah muncul naib juara kategori terbuka perempuan pada 2024 sebelum tewas kepada wakil Singapura, Hazel Tan.

Adania, 21, yang terlepas edisi tahun lalu kerana komitmen Sukan SEA bagaimanapun tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan, sebaliknya menyasarkan kedudukan tiga terbaik pada kejohanan kali ini.

“Sasaran saya adalah untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik. Setiap kejohanan mempunyai cabaran berbeza walaupun kami berlatih di sini setiap hari.

“Ia bergantung kepada keadaan lorong dan juga lawan yang dihadapi. Persaingan pasti sukar, tetapi saya akan cuba menyesuaikan diri,” katanya.

Kategori terbuka perempuan turut menyaksikan juara bertahan, Lavinia Kho kembali mempertahankan gelaran, selain bekas juara 2023, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Hazel, manakala Kim Soo Han akan mempertahankan kejuaraan Boys Open.

Kejohanan dari 1 hingga 13 Disember itu menarik lebih 900 penyertaan dari 16 negara, dengan Singapura menjadi kontinjen luar negara terbesar menerusi 280 penyertaan. Antara tarikan antarabangsa ialah juara Piala Dunia dari Hong Kong, Jovi Ma.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news