Seoul: Kapten Korea Selatan, Son Heung-min mengakui pasukannya melalui tahun penuh kekecewaan selepas dibelenggu prestasi tidak menentu, penyingkiran awal Piala Dunia serta perpecahan dalaman membabitkan pemain.
Baca juga: MBSB naik unjuran ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini
Kemenangan 1-0 ke atas Qatar dalam aksi persahabatan di Doha,semalam sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan buat Heung-min dan rakan sepasukan untuk menutup tirai tahun yang sukar buat skuad Taegeuk Warriors itu.
Korea Selatan sebelum ini tersingkir seawal peringkat kumpulan Piala Dunia selepas mengejutkan ramai pihak apabila tewas kepada Afrika Selatan.
Kegagalan itu turut menyaksikan pengendali, Hong Myung-bo meletakkan jawatan, sebelum timbul laporan mengenai keretakan hubungan antara Heung-min yang berusia 34 tahun dan beberapa pemain lain, termasuk pertahanan Bayern Munich, Kim Min-jae.
Heung-min yang kini beraksi bersama Los Angeles FC dalam Major League Soccer (MLS) bertekad bangkit dengan lebih kuat tahun depan, selain mengakui tanggungjawab menyarung jersi kebangsaan bukan sesuatu yang mudah.
“Sudah tentu bermain untuk pasukan kebangsaan bukan mudah dan memang tidak sepatutnya mudah.
“Kami beraksi dengan bendera negara di dada dan saya serta rakan sepasukan memahami tanggungjawab yang datang bersamanya.
“Sebab itu saya sentiasa memikirkan bagaimana untuk memimpin pasukan kebangsaan dengan lebih baik setiap tahun,” katanya.
Sebelum ini, Heung-min dan Min-jae bersama Lee Jae-sung, Hwang In-beom serta Hwang Hee-chan mengeluarkan kenyataan bersama memohon maaf kepada penyokong berhubung perpecahan dalaman pasukan menjelang aksi persahabatan November.
Sementara itu, aksi di Doha berkemungkinan menjadi perlawanan terakhir Robert Moreno selaku jurulatih sementara Korea Selatan.
Pengendali dari Sepanyol itu sebelum ini diberikan kontrak awal untuk mengendalikan enam perlawanan, dengan badan induk bola sepak Korea Selatan dijadual membuat keputusan sama ada mengekalkannya bagi menghadapi Piala Asia.
Bagaimanapun, kejohanan yang pada asalnya dijadual berlangsung Januari itu ditunda ke Disember 2027 susulan keadaan luar biasa di negara tuan rumah, Arab Saudi.
© New Straits Times Press (M) Bhd