SHAH ALAM: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dilaporkan hilang, selepas keluar membeli roti di sebuah kedai berhampiran kediamannya di Seksyen 9 di sini, semalam.
Baca juga: Karier Hafizuddin berakhir sekelip mata
Atilya Nur Qairina Azrai dikatakan keluar kira-kira 12 tengah malam, dengan menaiki motosikal Yamaha Y15 berwarna ungu sebelum gagal dikesan keluarganya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu daripada ahli keluarga di Balai Polis Seksyen 9 di sini, 4.32 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja itu memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa dia mahu ke pasar raya berdekatan bersama seorang anak saudara, untuk membeli roti.
“Ahli keluarga itu membenarkan remaja berkenaan keluar memandangkan kedai itu terletak berhampiran kediaman mereka.
“Bagaimanapun, kira-kira 7 pagi, dia mendapati remaja itu tiada di rumah, sebelum dimaklumkan anak saudara terbabit bahawa remaja itu keluar semula rumah selepas ke kedai berkenaan tanpa memaklumkan destinasi dituju,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pakaian terakhir dilihat dipakai remaja itu ialah seluar trek berwarna gelap dan baju-T hitam.
Beliau berkata, remaja berkenaan dipercayai menggunakan motosikal Yamaha Y15 berwarna ungu bernombor pendaftaran NEL 4012.
Katanya, polis sedang menjalankan usaha mengesan keberadaan remaja berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan remaja itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd