LATEST

Lelaki Filipina bunuh rakan senegara dipenjara 30 tahun

Lelaki Filipina bunuh rakan senegara dipenjara 30 tahun

am@hmetro.com.my

Baca juga: JDT tempuh ujian getir di Vietnam, Thailand

Tawau: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas lelaki warga Filipina kerana membunuh wanita di kawasan semak Ladang Ample Land Tingkayu, Kunak, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Roger Pasague Cullano, 54, selepas menerima pengakuan salah tertuduh bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hukuman diperintah bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Jun 2025 dan pemandu jentera itu diarah dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Bagaimanapun tiada perintah sebatan dikenakan, mengambil kira faktor usia tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fellanny Siji, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Berdasarkan fakta kes, mangsa Abigail Diego Mandi, 32, yang juga warga Filipina ditemui maut oleh anak lelakinya di bawah timbunan pelepah kelapa sawit dan semak pada 10 pagi, 13 Jun 2025.

Sebelum itu, lelaki itu dikatakan menghubungi ibunya pada 9.26 pagi untuk memintanya mengutip tandan sawit di lokasi, namun dia gagal menemui ibunya sebaik tiba di tempat berkenaan sebaliknya, sebaliknya terserempak dengan tertuduh dalam keadaan badan berlumpur serta kesan darah pada pipi serta memegang sebilah parang panjang.

Ketika ditanya mengenai keberadaan mangsa, tertuduh menunjukkan ke arah lain sebelum anak mangsa beredar dan mendapatkan bantuan orang awam untuk mencarinya.

Bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan akibat tetakan pada bahagian dada, kepala, wajah dan kedua-dua tangan selain kecederaan tikaman serta lebam pada tubuhnya. Punca kematian ialah kecederaan pada pembuluh darah utama.

Tertuduh ditangkap di kawasan Ladang Briian Tingkayu, Kunak pada 14 Jun 2025. Dalam soal siasat, tertuduh mendakwa tidak puas hati dengan mangsa menyebabkan tindakan itu diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news