Kuala Lumpur : Kehidupan glamor sebagai seorang selebriti tidak semestinya menjamin kestabilan pendapatan dan masa depan, lebih-lebih lagi apabila populariti serta tawaran kerja sentiasa berubah mengikut pasang surut industri hiburan.
Baca juga: SSMT bawa aura juara Indonesia buru final Zon Timur
Menyedari hakikat itu selepas lebih dua dekad bergelumang dalam dunia seni, pengacara dan pelakon popular, Awal Ashaari mengakui tidak menggalakkan dua cahaya matanya, Lara Alana dan Lyla Amina menjadikan bidang hiburan sebagai pilihan kerjaya apabila dewasa kelak.
Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 44, berkata, beliau sering berkongsi realiti sebenar serta cabaran perlu ditempuh penggiat seni tanah air kepada anak-anaknya, khususnya membabitkan jaminan pendapatan dan perancangan kewangan hari tua.
Menurutnya, pendedahan awal itu amat penting agar anak-anaknya tidak hanya terpesona dengan kilauan populariti tanpa memahami beban serta risiko di sebalik tabir.
“Anak saya sudah kena ‘brainwash’. Kadang-kadang mereka cakap nak jadi pelakon macam Scha (Scha Alyahya), tetapi Scha kata jangan jadi artis kerana artis tidak banyak duit.
“Namun, kadang-kadang perkara ini bergantung kepada rezeki dan nasib. Dalam Malaysia, bukan saja soal bakat, tetapi turut disertai rezeki dan nasib.
“Kalau nasib awak baik, orang kata untung sabut timbul. Kalau dia tenggelam, macam mana nak timbul? Susah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran telefilem Like & Latte karya UTV Original di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Awal berpandangan nama yang gah atau populariti mendadak tidak menjanjikan kelangsungan kerjaya jangka panjang apabila tawaran kerja boleh menyusut pada bila-bila masa mengikut selera masyarakat.
Jelasnya, berbeza dengan sektor pekerjaan makan gaji yang menawarkan skim persaraan dan pencen, golongan anak seni perlu memiliki disiplin tinggi dalam menguruskan aliran tunai serta membuat tabungan sendiri.
“Kehidupan sebagai selebriti ini tidak menentu. Kalau ketika itu tengah ‘meletup’, tawaran memang banyak. Tetapi apabila populariti mula suam-suam, tawaran akan berkurangan. Jadi, memang tiada jaminan.
“Orang lain apabila sudah berumur, mereka boleh fikir untuk bersara kerana mempunyai banyak wang simpanan dan pencen. Kalau selebriti, kena carum sendiri, itu pun kalau ada yang beringat.
“Kalau tidak beringat, ketika sedang gembira, berjoli-joli, tiba-tiba apabila sudah ‘down’, tiada apa-apa.
“Daripada situlah saya rasa anak-anak kalau boleh, carilah pekerjaan yang boleh menjamin masa depan. Bukan nak kata industri kita tidak menjamin, tetapi semuanya bergantung kepada rezeki dan nasib,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd