sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Pegawai JPJ menyamar berkas ulat tiket, pemandu teksi haram tawar perjalanan ke Singapura
Kuala Lumpur: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mahu mempercepatkan perpindahan atlet kebangsaan dari Bukit Jalil ke Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat Kebangsaan di Rompin, Pahang bagi memastikan keselamatan mereka lebih terjamin selain fokus dalam latihan.
Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, pihaknya mahu keputusan mengenai perpindahan itu dibuat dalam masa terdekat meskipun pusat latihan berkenaan masih dalam proses naik taraf dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai tahun depan.
Beliau berkata, persekitaran di Bukit Jalil yang lebih terbuka serta peraturan kurang ketat menyebabkan Rompin dilihat sebagai lokasi lebih sesuai untuk menempatkan atlet, khususnya ketika membuat persiapan menghadapi kejohanan.
“Kita perlu membuat keputusan sama ada atlet perlu dipindahkan ke Rompin. Insya-Allah, dalam masa terdekat kita akan memutuskan perpindahan atlet yang kini berada di Bukit Jalil.
“Bukit Jalil sebenarnya kurang sesuai kerana kawasannya terbuka dan peraturannya agak longgar. Keadaan itu tidak memberikan impak positif, terutama ketika atlet membuat persiapan menghadapi kejohanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Ayub berkata, cadangan menjadikan Rompin sebagai Pusat Kecemerlangan Sukan Angkat Berat sudah mendapat persetujuan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Majlis Sukan Negara (MSN), dengan kemudahan itu dirancang menempatkan semua atlet program Road to Gold (RTG) dan Podium.
Menurutnya, kawalan 24 jam serta peraturan lebih ketat di lokasi yang jauh daripada kesibukan bandar mampu mengehadkan aktiviti atlet di luar waktu latihan, sekali gus membantu menjaga keselamatan dan memastikan mereka lebih fokus.
“Dengan kawalan 24 jam serta peraturan yang ditetapkan, selain lokasinya yang jauh dari bandar, ia penting bagi memastikan atlet terus fokus. Persatuan juga mahu melihat kecemerlangan mereka dapat dicapai,” katanya.
Terdahulu, Hafizuddin menjalani pembedahan sehingga tangan kanannya terpaksa dipotong selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Isnin lalu, ketika dalam perjalanan dari Ampang ke Bukit Jalil.
© New Straits Times Press (M) Bhd