LATEST

Pegawai JPJ menyamar berkas ulat tiket, pemandu teksi haram tawar perjalanan ke Singapura

Pegawai JPJ menyamar berkas ulat tiket, pemandu teksi haram tawar perjalanan ke Singapura

jashadiqe@nst.com.my

Baca juga: Selepas 35 tahun, impian Exists beraksi di kampung halaman tercapai

Johor Bahru: Operasi penyamaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor berjaya menahan masing-masing seorang ulat tiket dan pemandu teksi haram yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan tidak sah ke Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), JB Sentral, di sini, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan di sepanjang Jalan Jim Quee, di sini, susulan aduan orang awam berhubung kegiatan ulat tiket dan kenderaan tidak berlesen yang memujuk penumpang untuk ke Singapura.

Pengarah JPJ Johor Zulkarnain Yasin berkata, sepasukan anggota yang menyamar ditempatkan di terminal berkenaan sebelum seorang lelaki menghampiri seorang pegawai yang menyamar sebagai penumpang dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan ke Singapura.

Pegawai terbabit kemudiannya dibawa ke sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang parkir di sepanjang Jalan Jim Quee, di hadapan perhentian teksi, di mana pemandunya sedang menunggu untuk membawa penumpang merentasi sempadan.

“Bertindak atas aduan orang awam, pasukan penguat kuasa kami menjalankan risikan dan operasi penyamaran sebelum mengambil tindakan terhadap ulat tiket serta pemandu teksi haram itu,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemandunya ditahan, manakala kenderaan itu disita, sebelum dibawa ke pejabat JPJ di Taman Daya untuk siasatan lanjut.

Katanya, ulat tiket itu diserahkan kepada polis dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh perbicaraan di mahkamah.

Zulkarnain berkata, pemandu dan pemilik kenderaan berkenaan dikenakan saman mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan, masing-masing boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM10,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Ulat tiket berkenaan turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Zulkarnain berkata, penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan di JB Sentral dan BSI bagi mengekang aktiviti sedemikian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news