LATEST

Selepas 35 tahun, impian Exists beraksi di kampung halaman tercapai

Selepas 35 tahun, impian Exists beraksi di kampung halaman tercapai

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Baca juga: Polis Medan rampas bot nelayan bawa 56kg dadah dari Malaysia

Kuala Lumpur : Pulang kali pertama buat konsert di kampung halaman, Johor diakui menjadi impian 35 tahun kumpulan Exists yang akhirnya menjadi kenyataan, meskipun pernah gusar memikirkan beberapa faktor.

Pemain bass Exists, Musa Radhi atau Musrad berkata, sebenarnya setiap tawaran konsert diterima kumpulan itu tidak sewenang-wenangnya dipersetujui dengan mudah hanya kerana berasakan nama dikenali peminat.

“Alhamdulillah, impian Exists untuk hiburkan peminat di kampung halaman kami yang berasal dari Johor, kecuali Ezad di Kedah, nampaknya akan jadi kenyataan selepas 35 tahun kami tunggu peluang ini.

“Kami sudah buat konsert di Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah dan negara jiran, Singapura. Tetapi, konsert di Johor Bahru belum pernah lagi walaupun sekali. Jadi, rezeki diterima ini sangat-sangat bermakna.

“Tetapi, macam biasa bila kita (Exists) terima satu-satu tawaran untuk buat konsert ini, kita bukan sekadar terima macam jom buat konsert untuk ‘brand’ Exists. Kita tidak sewenang-wenangnya terus terima.

“Nombor satu kita tanya, kamu ada konsep untuk buat?, sebab kita perlu jaga reputasi band juga. Kita memang kena buat ada konsep walaupun akan ada orang cakap lagu sama sahaja yang dinyanyikan sana sini?

“Jadi, itu sebenarnya yang kita (Exists) risau. Selain kita menjual nostalgia sebenarnya, nostalgia ini banyak yang suka, dan memang boleh dijual (nostalgia). Jadi, dekat situ band juga perlu ada konsep untuk konsert,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Exists yang hadir dengan anggota asal iaitu Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along (gitar utama), Ujang (dram), Ajai (keyboard) serta Shah (gitar) ditemui pada majlis sidang media Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru, semalam.

Musrad berkata, persediaan khusus perlu sentiasa diutamakan oleh Exists dengan mengambil kira keadilan untuk peminat yang membeli tiket dan penganjur acara (EO) bertanggungjawab untuk mengadakan konsert itu.

“Apabila ada konsep untuk satu-satu konsert, ia pasti akan kita ‘support’ dengan persediaan nak buat bagaimana?, sebab kalau hanya nak orang datang tabur duit dan kita terima, saya rasa itu tidak ‘fair’ (adil).

“Kita tak nak jadi band yang membuat EO muflis sebenarnya. Kita bukan band macam itu. Kita nak EO pun sama-sama ‘success’ sebab kita nak lebih banyak penganjur acara yang berhasil, sekali gus industri muzik juga semakin meriah,” ujarnya.

Jelas Musrad lagi, daripada pemerhatiannya mendapati jumlah penganjur acara seperti konsert di Malaysia masih tidak ramai, berbanding jumlah artis yang memang bertambah-tambah.

Penganjuran Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru ini adalah kerjasama kali kedua, Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan Konsert Wali Band di Johor pada 3 Oktober lalu.

Mensasarkan seramai 15,000 penonton, jualan tiket Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru yang bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 9 Januari depan, dimaklumkan sudah terjual sebanyak 7,000 tiket.

Exists yang muncul dalam industri sejak 1991, mempunyai banyak lagu popular seperti Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Jesnita, Langkah Seiringan, Rahsia Pohon Cemara, Julia, dan Percayakan Siti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news