LATEST

Mahkamah Tinggi benarkan JPN cabar perintah keluarkan sijil kelahiran anak angkat warga China

Mahkamah Tinggi benarkan JPN cabar perintah keluarkan sijil kelahiran anak angkat warga China

Rahmat@nst.com.my

Baca juga: Syarikat asing raih pendapatan RM64.3 bilion di Malaysia

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membenarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencabar perintah mahkamah yang mengarahkannya mengeluarkan sijil kelahiran kepada seorang anak angkat warga China.

Pesuruhjaya Kehakiman Suraiya Mustafa Kamal membuat keputusan itu selepas membenarkan JPN menjadi pihak dalam rayuan pengangkatan yang difailkan oleh seorang lelaki warga Malaysia dan isteri warga China, yang memohon untuk mengambil anak saudara perempuan kepada pasangannya itu, sebagai anak angkat.

Beliau memutuskan bahawa perintah mahkamah terdahulu, bertarikh 17 Mac, adalah terbatal dan tidak sah atas alasan menyalahi undang-undang atau ketiadaan bidang kuasa kerana ia menghendaki JPN bertindak bertentangan dengan Akta Pengangkatan dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

Suraiya berkata, mahkamah mengekalkan kuasa untuk mengetepikan perintah itu walaupun ia dimuktamadkan, terutamanya apabila ia melanggar keperluan statutori.

Kes itu berpunca daripada permohonan pengangkatan yang difailkan oleh pasangan berkenaan untuk mengambil anak saudara perempuan kepada isteri, yang dilahirkan di Liaoning, China, pada 23 April 2007.

Remaja perempuan itu tinggal bersama pasangan berkenaan di Pulau Pinang sejak 2017, berikutan perpisahan ibu bapa kandungnya.

Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Sesyen Georgetown menolak permohonan pengangkatan pasangan itu atas alasan remaja perempuan berkenaan tidak memiliki sijil kelahiran Malaysia dan pemastautin biasanya tidak dibuktikan dengan secukupnya.

Bagaimanapun, pada 17 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Choong Yeow Choy membenarkan rayuan mereka dan memberikan perintah pengangkatan.

Choong memutuskan bahawa kanak-kanak kelahiran luar negara tanpa sijil kelahiran Malaysia masih boleh diambil sebagai anak angkat, dengan syarat keperluan undang-undang dipenuhi dan kebajikan mereka dilindungi.

Perintah itu juga mengarahkan JPN untuk mendaftarkan pengangkatan itu dan mengeluarkan sijil kelahiran yang mencerminkan kewarganegaraan China serta tempat lahir remaja perempuan berkenaan.

Namun, JPN mencabar perintah itu dengan berhujah bahawa ia tidak dapat dilaksanakan kerana remaja perempuan terbabit bukan warganegara Malaysia dan tidak memiliki sijil kelahiran yang dikeluarkan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

JPN memfailkan permohonan pada 28 Julai bagi memohon untuk dimasukkan sebagai pihak dalam prosiding berkenaan dan mengetepikan perintah bertarikh 17 Mac itu.

Pasangan berkenaan membangkitkan bantahan awal, dengan berhujah bahawa JPN tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang (locus standi) untuk mencabar perintah itu kerana ia bukan pihak dalam prosiding asal.

Mereka juga berhujah bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusan terdahulunya kerana perintah itu sudah dimuktamadkan.

Bagaimanapun, Suraiya menolak kedua-dua hujah berkenaan.

Beliau berkata, JPN terjejas secara langsung oleh perintah itu kerana ia adalah pihak berkuasa berkanun yang bertanggungjawab mengeluarkan sijil kelahiran.

“Adalah penting bagi pemohon dinamakan sebagai pihak sejak awal proses mahkamah kerana hanya pemohon yang diberi kuasa untuk melaksanakan dan menguatkuasakan perintah 17 Mac itu,” katanya dalam alasan penghakiman bertulisnya bertarikh 16 November lalu.

Beliau juga menolak hujah pasangan itu bahawa permohonan JPN difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan, dengan memutuskan bahawa kelewatan itu tidak menghalang jabatan berkenaan daripada mencabar perintah yang menyalahi undang-undang.

“Prinsip keadilan menuntut supaya keadilan ditegakkan bukan sahaja untuk perayu atau kanak-kanak itu, yang bukan warganegara Malaysia, tetapi keadilan juga mesti diperluaskan kepada semua pihak lain yang terjejas,” katanya.

Peguam Koay Ee Teng mewakili pasangan berkenaan, manakala Peguam Persekutuan Nordiyanasari Omar hadir bagi pihak JPN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news