TAWAU: Seorang pemandu lori didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah membiarkan lori dipandunya yang rosak tanpa tanda amaran sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut.
Baca juga: Sabar Dalam Kehidupan: Panduan Ringkas Untuk Hati Tenang
Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Khalik Bacho, 46, yang didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut fakta kes, kejadian kira-kira jam 4.30 pagi pada 19 Disember 2025 di Jalan Sungai Burung, Jalan Apas-Balung, apabila motosikal ditunggang Hasan Ambo Latta, 32, melanggar belakang lori yang terhenti di lorong kiri jalan.
Sebelum kejadian, tertuduh yang memandu lori Nissan bersama seorang kelindan dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas menuju ke Sapi Nangoh, Beluran, dengan membawa muatan baja seberat kira-kira 25 tan.
Ketika melalui Jalan Sungai Burung, lori berkenaan mengalami kerosakan enjin sehingga tidak dapat dihidupkan dan dialihkan ke bahu kiri jalan.
Bagaimanapun, tertuduh membiarkan lori itu terhenti di lorong kiri tanpa meletakkan sebarang tanda amaran atau kon keselamatan bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya lain.
Tertuduh dan kelindannya yang tidur di dalam lori kemudian dikejutkan orang awam, yang memaklumkan kenderaan itu dilanggar sebuah motosikal.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Batu 15, Jalan Apas menuju ke tempat kerjanya di Sungai Burung, sebelum motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang lori berkenaan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke lorong kanan jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pelbagai anggota badan.
Lebih menyedihkan, mangsa yang berusia 32 tahun itu difahamkan baru kira-kira sebulan mendirikan rumah tangga sebelum kemalangan berkenaan.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Asisten Superintendan Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd