New York: Seorang lelaki warga Pakistan dijatuhi hukuman penjara lebih 27 tahun pada Selasa kerana merancang pembunuhan Presiden Donald Trump sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan komander Pengawal Revolusi Iran, Qassem Soleimani, oleh Amerika Syarikat (AS), menurut Jabatan Kehakiman.
Baca juga: Tuanku Muhriz titah Ismail teruskan tugas MB, perkenan peletakan jawatan belum diputuskan
Asif Merchant, yang didakwa mempunyai hubungan dengan Iran, cuba mengupah pembunuh upahan untuk membunuh seorang ahli politik atau pegawai kerajaan di AS, menurut keputusan mahkamah di Brooklyn.
Soleimani, ketua operasi ketenteraan luar Iran, terbunuh dalam serangan dron AS di Baghdad pada Januari 2020. Pegawai Iran berulang kali berikrar akan membalas kematiannya.
Merchant memberi keterangan bahawa beliau dipaksa menyertai rancangan itu bagi melindungi keluarganya di ibu negara Iran, Tehran, daripada ancaman Pengawal Revolusi.
Beliau turut mendakwa menyangka dirinya akan ditangkap sebelum sesiapa dibunuh, menurut laporan beberapa organisasi media.
Beliau berkata, tiada arahan diberikan untuk membunuh individu tertentu, namun individu yang menjadi penghubungnya di Iran pernah menyebut tiga nama berkaitan rancangan itu, iaitu Trump, bekas presiden AS Joe Biden dan bekas Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley.
Bagaimanapun, pegawai tertinggi undang-undang AS, Todd Blanche, menegaskan pada Selasa bahawa rancangan itu menyasarkan Trump.
“Seorang ejen Iran yang datang ke AS untuk menyelaraskan cubaan pembunuhan terhadap Trump kini sudah dijatuhi hukuman setimpal atas perbuatan jenayahnya,” kata Peguam Negara, Blanche, selepas Merchant dijatuhi hukuman penjara 330 bulan.
“Jabatan Kehakiman tidak akan bertolak ansur dengan rancangan pengganas asing yang menyasarkan pemimpin kita dan tidak akan berhenti sehingga pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.”
Pegawai AS sebelum ini berkata Merchant mempunyai hubungan rapat dengan Iran dan menyifatkan rancangan yang didakwa dilakukannya sebagai menepati strategi rejim Iran.
Merchant ditahan pada 12 Julai 2024 ketika merancang untuk meninggalkan negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd