ISTANBUL/WASHINGTON: Yayasan Hind Rajab pada Selasa mengemuka permohonan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) supaya mendakwa bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Semenanjung Gaza dan Lubnan, serta pembunuhan beramai-ramai di wilayah Palestin itu, lapor Anadolu Ajansi.
Baca juga: Uji Rashid kesal nama disalah guna kutip sumbangan buat arwah Cico
Yayasan itu memaklumkan permohonan itu membabitkan dakwaan jenayah yang didakwa mendapat kebenaran atau diarahkan oleh Gallant sepanjang beliau memegang jawatan sebagai menteri pertahanan dan mengetuai kempen ketenteraan Israel di Gaza serta Lubnan sejak 7 Oktober 2023.
Langkah itu dibuat menjelang lawatan Gallant yang dijadualkan ke New York City pada Rabu, bagi menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak tahunan Institut MirYam, sebuah pertubuhan yang menyokong Israel.
Yayasan Hind Rajab mendakwa Gallant bertanggungjawab terhadap dasar ketenteraan Israel di Gaza dan Lubnan, dengan merujuk kepada kematian orang awam secara besar-besaran, kemusnahan kawasan kediaman, pemindahan penduduk serta serangan terhadap kemudahan kesihatan.
Menurut yayasan itu, lebih 43,000 rakyat Palestin terbunuh di Gaza sehingga Gallant dipecat pada November 2024, manakala 90 peratus kediaman musnah dan hampir keseluruhan penduduk hilang tempat tinggal.
Yayasan itu turut menuduh tentera Israel di bawah arahan Gallant membunuh lebih 2,600 orang di Lubnan, menyasarkan kemudahan kesihatan dan kenderaan kecemasan, selain melancarkan serangan menggunakan alat kelui pada September 2024 yang mengorbankan 12 nyawa dan mencederakan hampir 3,000 orang.
Yayasan Hind Rajab turut merujuk kepada pengumuman Gallant pada Oktober 2023 mengenai pelaksanaan kepungan menyeluruh ke atas Gaza, termasuk menyekat bekalan elektrik, air, makanan dan bahan api, sebagai bukti dakwaan hasutan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Yayasan itu berhujah perundangan AS, termasuk Akta Jenayah Perang dan Statut Genosid, menyediakan asas perundangan untuk mendakwa Gallant sekiranya memasuki wilayah AS, tanpa mengira lokasi jenayah yang didakwa berlaku.
Yayasan Hind Rajab turut menggesa Washington menunaikan tanggungjawabnya mengikut Konvensyen Geneva untuk menyiasat dan mendakwa individu yang disyaki melakukan pelanggaran serius, sambil menegaskan Gallant tidak boleh secara automatik menuntut kekebalan daripada pendakwaan atas dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Gallant juga berdepan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sejak November 2024 atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Yayasan itu turut menggesa anggota Kongres AS memansuhkan atau meminda Akta Perlindungan Anggota Perkhidmatan Amerika bagi membolehkan kerjasama dengan ICC dalam siasatannya berhubung Palestin.
Perkembangan itu berlaku ketika Israel terus melakukan pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata dengan Hamas yang berkuat kuasa pada Oktober 2025.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan Israel sejak gencatan senjata bermula sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,650 rakyat Palestin dan mencederakan 5,975 yang lain.
Anggota Kongres AS, Rashida Tlaib mengecam rancangan Gallant untuk menghadiri acara di New York City itu, sambil menuduhnya bertanggungjawab terhadap genosid di Gaza serta Lubnan.
“Kita tidak boleh menganggap sebagai perkara biasa apabila penjenayah perang bebas bergerak di bandar-bandar kita. Yoav Gallant bertanggungjawab terhadap genosid di Gaza dan Lubnan.
“ICC mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. Tempatnya di The Hague, bukannya menjelajah untuk menyampaikan ucapan. Kerajaan kita terus menyokong pembunuhan beramai-ramai,” kata Tlaib menerusi platform media sosial X. – BERNAMA-ANADOLU
© New Straits Times Press (M) Bhd