suliati@hmetro.com.my
Baca juga: Norway cipta kebangkitan luar biasa
Shah Alam: Seramai 5,000 murid daripada keluarga yang memerlukan di Semenanjung Malaysia bakal menerima bantuan kasut sekolah menerusi Kempen Selangkah Berkat membabitkan sumbangan keseluruhan RM400,000.
Inisiatif komuniti anjuran AIA PUBLIC Takaful Bhd dan Media Prima Berhad dengan kerjasama Harian Metro itu menyasarkan pengumpulan 100 juta langkah yang akan ditukarkan kepada sumbangan 5,000 pasang kasut sekolah kepada murid yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Mohd Asri Omar berkata, kempen berkenaan bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia bergerak aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat, di samping menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Menurutnya, walaupun dalam tempoh kurang sebulan sejak kempen ini dilancarkan Oktober lalu, sudah 45 juta langkah berjaya dikumpul sekali gus membuktikan aktiviti harian yang mudah seperti berjalan mampu membawa manfaat besar apabila dilakukan secara bersama.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan menunjukkan sokongan serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia dalam menjayakan usaha yang bukan sahaja membawa manfaat kepada diri sendiri, malah kepada masyarakat.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa setiap langkah kecil mampu mencipta impak yang lebih besar dan bermakna apabila digerakkan secara kolektif demi kebaikan dan keberkatan bersama,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan baucar kasut sekolah fasa pertama di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.
Seramai 500 murid daripada 10 sekolah terpilih di Selangor akan menerima sumbangan kasut sekolah bernilai keseluruhan RM40,000 menerusi penyerahan fasa pertama itu.
Setiap murid menerima baucar bernilai RM80 untuk menebus sepasang kasut sekolah baharu, manakala setiap sekolah menerima peruntukan baucar berjumlah RM4,000 bagi 50 murid.
Penyerahan baucar disempurnakan Mohd Asri kepada Pengarah JPN Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim dengan disaksikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Sektor Pembangunan Murid JPN Selangor Yusaini Salleh dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad (MPB) serta Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk Farrah Naz Abd Karim dan Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Berhad, Luqman Adrine Jaafar.
Mohd Asri berkata, pihaknya berbesar hati apabila langkah harian yang dikumpulkan menerusi penyertaan orang ramai dapat diterjemahkan kepada perkongsian manfaat yang bermakna untuk murid yang memerlukan.
“Semoga bantuan kasut sekolah ini dapat meringankan persediaan ibu bapa dan murid-murid menjelang sesi persekolahan tahun hadapan sekali gus memberikan mereka keyakinan untuk mulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa dan bersemangat,” katanya.
Sementara itu, Husain berkata, peranan Harian Metro sebagai akhbar harian berbahasa Melayu yang dekat di hati rakyat tidak pernah terbatas kepada melaporkan berita dan hal ehwal semasa semata-mata.
“Bagi kami, denyut nadi masyarakat adalah sebahagian daripada denyut nadi Harian Metro.
“Justeru, inisiatif program ini bukan sekadar program bermusim, tetapi satu komitmen berterusan untuk kami ‘turun padang’ dan mengembalikan kebaikan kepada komuniti yang selama ini menjadi tonggak kekuatan jenama kami.
“Apabila kita bercakap mengenai pendidikan dan masa depan anak-anak kita, tiada kompromi dalam memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Menurutnya, sepasang kasut sekolah mungkin dilihat sebagai keperluan asas biasa, namun bagi keluarga yang berdepan kekangan ekonomi, pembelian kelengkapan itu boleh menjadi beban perbelanjaan besar menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Bagi memastikan semua bantuan sampai kepada kumpulan sasar, penganjur menjalinkan kerjasama dengan 12 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan agihan.
JPN menerusi Sektor Pembangunan Murid bertanggungjawab mengenal pasti murid yang memerlukan berdasarkan pangkalan data rasmi kerajaan termasuk eKasih dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), dengan pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).
Selepas Selangor, penyerahan baucar dijadualkan berlangsung di JPN Kedah, Kelantan dan Johor, manakala agihan ke lapan negeri dan Wilayah Persekutuan lain akan dilaksanakan menerusi perkhidmatan pos kurier berinsurans ke pejabat JPN masing-masing.
Orang ramai masih berpeluang menyumbang kepada pencapaian sasaran 100 juta langkah menerusi acara Selangkah Berkat Fun Walk sejauh tiga kilometer (km) yang akan berlangsung di Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, pada 6 Disember ini.
Acara bermula jam 6 pagi itu turut menyediakan pelbagai aktiviti termasuk senamrobik, cabutan rezeki dan hadiah menarik.
Pendaftaran dibuka sehingga 2 Disember ini menerusi laman web Checkpoint Spot dengan yuran RM40 bagi pendaftaran awal sehingga 19 November, manakala RM50 bagi pendaftaran biasa bermula 20 November hingga 2 Disember, tidak termasuk caj insurans RM2 dan caj pentadbiran portal.
© New Straits Times Press (M) Bhd