LATEST
National

Uji Rashid kesal nama disalah guna kutip sumbangan buat arwah Cico

Uji Rashid kesal nama disalah guna kutip sumbangan buat arwah Cico

KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda, Uji Rashid kesal apabila namanya didakwa disalah guna pihak tidak bertanggungjawab bagi mengutip sumbangan orang ramai konon untuk menganjurkan majlis tahlil buat anaknya, Allahyarham Cico Harahap.

Baca juga: Trump hargai kerjasama Anwar dan usaha Malaysia selesaikan konflik Kemboja-Thailand

Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid, 73, berkata beliau tidak pernah meminta sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak, apatah lagi membuat kenyataan atau hebahan berhubung kutipan wang selepas pemergian Cico pada 8 November lalu.

“Saya dimaklumkan ada pihak menggunakan nama saya di TikTok atau Facebook (FB) untuk meminta sumbangan orang ramai bagi tujuan mengadakan majlis tahlil.

“Demi Allah, saya tidak pernah meminta bantuan atau sumbangan daripada sesiapa. Malah, saya juga tidak pernah keluarkan sebarang kenyataan atau tulis mengenai perkara itu di mana-mana platform.

“Saya dimaklumkan pihak terbabit turut menyertakan nombor akaun bank untuk orang ramai menyalurkan wang. Jadi, saya minta jangan gunakan nama saya untuk tujuan sedemikian,” katanya ditemui pada majlis bacaan Yasin dan tahlil buat Allahyarham Cico di Masjid Bukit Antarabangsa di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, ahli kariah muslimat masjid berkenaan turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga Allahyarham Cico.

Uji bersyukur sudah menerima bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selain sumbangan orang ramai yang disalurkan secara terus kepadanya.

“Alhamdulillah, FINAS ada menghulurkan bantuan dan orang ramai juga sudah banyak membantu saya. Jadi, saya tidak pernah meminta sumbangan seperti itu.

“Saya tidak pernah keluarkan sebarang kenyataan berhubung kutipan wang. Tolonglah jangan gunakan nama saya. Terpulang kepada mereka kerana setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan,” katanya.

Bagaimanapun, Uji tidak menolak bantuan orang ramai sekiranya disalurkan menerusi individu yang dikenalinya serta dipercayai.

“Saya tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Kalau ada yang mahu membantu, biarlah melalui orang yang saya kenal dan percayai. Saya tidak kisah jika bantuan disalurkan menerusi mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Uji turut menyuarakan hasrat menunaikan badal haji buat Allahyarham Cico bagi memenuhi keinginan anaknya yang pernah diluahkan ketika hayatnya.

Cico juga pernah menyatakan hasrat untuk membawa anak perempuannya, Rindu Nur Fitrah menunaikan umrah.

“Ketika dia sakit, Cico berpesan kepada Rindu supaya membawanya menunaikan umrah. Jadi, insya-Allah, saya sendiri berhasrat merealisasikan hasrat itu.

“Saya akan mendapatkan khidmat agensi untuk menguruskan perjalanan berkenaan. Insya-Allah, mungkin tahun depan atau pada bila-bila masa yang sesuai,” katanya.

Allahyarham Cico atau nama sebenarnya, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, meninggal dunia di Hospital Ampang pada 8 November lalu, kira-kira jam 11 pagi.

Jenazah Allahyarham Cico dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Allahyarham Cico meninggalkan seorang anak perempuan, Rindu, 18, hasil perkahwinan dengan bekas isterinya, Nur Fuziani Abdullah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news