LATEST

Malaysia, Perancis meterai 7 kerjasama termasuk REE

Malaysia, Perancis meterai 7 kerjasama termasuk REE

KUALA LUMPUR: Bekalan unsur nadi bumi merupakan antara tujuh kerjasama yang dimeterai antara Malaysia dan Perancis bagi meningkatkan hubungan
kedua-dua negara.

Perkara itu termasuk tiga memorandum persefahamam (MoU) dan dua surat hasrat (LoI), merangkumi bidang peralihan tenaga, mineral kritikal, pertahanan serta kesalinghubungan
digital.

Baca juga: Selesa berlakon dengan semua hero sebelum ini

Kerjasama itu menyaksikan alaysia bersetuju untuk membekalkan bahan mineral kritikal termasuk unsur nadir bumi kepada Perancis dalam bentuk telah diproses dari negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu sejajar pendirian Malaysia mengekalkan dasar tidak mengeksport bahan mentah mineral kritikal termasuk unsur nadir bumi.

Katanya, pendekatan tersebut membolehkan Malaysia meraih manfaat pemindahan teknologi serta peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan tanpa mengorbankan sumber asli secara mentah.

Menurutnya, Perancis menjadi rakan kerjasama yang memenuhi syarat ketat itu apabila bersetuju melabur dalam kemudahan pemprosesan di Malaysia serta bekerjasama secara langsung dengan syarikat tempatan.

“Tuan Presiden, kita telah melakukan sesuatu yang unik dalam soal mineral kritikal. Kita tidak mengeksport bahan mentah.

“Namun bersama Perancis, anda melakukannya kerana anda komited kepada pemprosesan serta bekerjasama dengan rakyat Malaysia sebagai satu pasukan,” katanya pada sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini semalam.

Sementara itu, Macron mengesahkan bahawa projek perindustrian antara syarikat Perancis, Carester dan syarikat tempatan, Malaco Mining Group akan memulakan operasi pada awal 2027.

Beliau menjelaskan projek yang dirintis susulan lawatan rasmi Anwar ke Paris tahun lalu itu merangkumi aktiviti pengekstrakan serta pemprosesan di Malaysia sebelum jumlah kapasiti dikhaskan dihantar untuk penapisan akhir di Perancis bagi memenuhi keperluan rantaian nilai negara itu.

“Pelancaran operasinya adalah seawal awal tahun 2027 yang akan membolehkan kita melaksanakannya dalam semangat saling menghormati, bukan sahaja melibatkan pengekstrakan, tetapi juga pemprosesan di sini (Malaysia), selain jumlah serta kapasiti yang akan dikhaskan termasuk kemungkinan untuk melakukan penapisan di Perancis,” katanya.

Tambah Macron, kerjasama tersebut turut diperkukuh menerusi perikatan bersama Biro Penyelidikan Geologi dan Perlombongan Perancis (BRGM) yang akan menempatkan seorang pakar teknikal di Malaysia bagi membantu pembangunan industri mineral kritikal negara.

Terdahulu, Emmanuel Macron dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula kelmarin diberi sambutan negara di Dataran Merdeka.

Ketibaan Macron bersama isterinya, Brigitte Macron pada 9.30 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menariknya, sambutan negara kali ini berlangsung di Dataran Merdeka yang sinonim dengan perjuangan kemerdekaan negara dan menjadi antara mercu tanda utama ibu negara, berbeza daripada beberapa istiadat sambutan rasmi pemimpin asing sebelum ini yang diadakan di Putrajaya atau Istana Negara.

Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden Perancis pada Mei 2017.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan Malaysia turut mengharapkan sokongan Perancis dalam menjayakan projek Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid) memandangkan Malaysia kini menjadi pangkalan utama bagi inisiatif tenaga serantau tersebut.

Jelas beliau, projek grid itu melibatkan kabel dasar laut dari Vietnam ke utara Semenanjung Malaysia dan Singapura, laluan darat dari Laos dan Thailand, serta kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia, Singapura dan negara jiran.

Beliau turut berkongsi kesediaan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr untuk menyambungkan grid tenaga berkenaan dari Sabah ke selatan Filipina, selain cadangan menyalurkan tenaga dari Sarawak ke Indonesia.

Anwar turut menyentuh hubungan kukuh antara Petronas dan syarikat tenaga gergasi Perancis, TotalEnergies dalam pelaburan tenaga di pelbagai benua, selain usaha Sunway Group membawa masuk model projek hijau mereka di Perancis untuk dilaksanakan di Malaysia termasuk di Sarawak.

Menyentuh isu Gaza, Anwar berkata, Malaysia amat menghargai pendirian konsisten Paris yang terus mengutamakan aspek kemanusiaan, tatkala isu hak asasi manusia dan keadilan, sering diperkatakan secara terpilih oleh pihak tertentu.

Beliau menyifatkan pendirian Macron dalam isu Gaza dan Palestin sebagai suara hati nurani yang berani menentang arus politik toksik serta sikap hipokrit masyarakat antarabangsa.

Macron dalam kenyataan balasnya menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Malaysia serta menegaskan kedua-dua negara bebas daripada dwistandard dalam mempertahankan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kedaulatan Palestin dan Ukraine, serta hak setiap rakyat untuk hidup aman dan menikmati integriti wilayah masing-masing.-uUTUSAN

The post Malaysia, Perancis meterai 7 kerjasama termasuk REE appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news