LATEST

Puteri Balqis mohon maaf secara terbuka

Puteri Balqis mohon maaf secara terbuka

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Baca juga: Hans Isaac Kahwin Jun Tahun Depan, Jatuh Cinta Keperibadian Francisca Luhong 

Kuala Lumpur : Pelakon remaja berbakat besar, Puteri Balqis tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada syarikat produksi Global Station berhubung kelantangan serta penggunaan kata-kata keras yang diluahkan di media sosial.

Puteri Balqis, 19, atau mesra disapa Aqish mengakui cara dia menzahirkan emosi ketika berdepan kemelut berkenaan agak keterlaluan, sekali gus bersedia memikul tanggungjawab penuh atas kekhilafan itu.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf atas kata-kata keras yang pernah saya luahkan sebelum ini. Saya mengakui cara saya menzahirkan emosi ketika itu agak keterlaluan.

“Saya benar-benar kesal dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya. Sekali lagi, saya memohon maaf,” katanya menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di Instagram.

Dalam perkembangan sama, Aqish memaklumkan dia sudah menerima maklum balas terkini daripada pihak Global Station berhubung dakwaan dirinya diraba oleh seorang pelakon lelaki di set penggambaran sebelum ini.

Menurutnya, syarikat produksi terbabit kini sedang menjalankan siasatan terperinci dan bakal mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan rakaman asal serta keterangan saksi di lokasi.

Mengulas lanjut, Aqish menzahirkan rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak produksi kerana sudi mendengar rintihannya serta mengambil serius isu berkenaan di saat ramai pihak lain memilih untuk berdiam diri.

“Terima kasih kerana tidak gentar untuk berdepan dengan kebenaran. Saya juga amat berharap agar saksi terus berpegang kepada kebenaran berdasarkan apa yang mereka lihat dan ketahui.

“Kesediaan pihak Global Station mengambil perkara ini secara serius amat bermakna buat saya dan keluarga ketika begitu ramai pihak lain termasuk golongan profesional dan masyarakat enggan mempercayai apa yang berlaku kepada kami,” ujarnya.

Tambah Aqish, situasi dipandang remeh dan tidak dipercayai segelintir pihak itu secara tidak langsung mengimbau semula trauma silam yang pernah dilalui ibunya, namun menegaskan pendiriannya tidak pernah goyah sejak awal.

“Saya amat berharap agar siasatan ini dapat memberikan penjelasan yang sewajarnya, merungkai kebenaran dan seterusnya membawa kepada keadilan. Buat masa ini, kami akan menunggu perkembangan selanjutnya,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news