SHENZHEN: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bao’an Shenzhen tengah malam tadi untuk menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 di sini.
Baca juga: Remaja perempuan 17 tahun antara 2 rentung dalam kemalangan di Rengit
Beliau diiringi barisan pegawai kanan kerajaan, dengan pesawat khas kerajaan mendarat jam 12.29 pagi.
Anwar bersama delegasi disambut Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China, Datuk Norman Muhamad, serta Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, Norfarina Mohd Azmee.
Kerajaan China diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Wilayah Guangdong, Huang Chupin; Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia yang baharu dilantik, Yao Wen, serta Duta Protokol ke APEC, Ouyang Yujing.
Ketibaan Perdana Menteri turut disambut barisan 36 kawalan kehormatan daripada Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).
Anwar dijadual menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak CEO APEC 2026 yang bertajuk “Memikirkan Semula Keterbukaan, Membina Kemakmuran Bersama di Asia Pasifik” yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Qianhai.
Sidang kemuncak itu akan dirasmikan Presiden China, Xi Jinping.
Perdana Menteri juga akan bersemuka dengan beberapa pemain industri China, selain menghadiri Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China yang dianjurkan oleh Majlis Perniagaan Malaysia-China.
Pada sebelah malam, Perdana Menteri akan menghadiri jamuan dan persembahan kebudayaan di Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen, di mana beliau dijangka mengadakan pertemuan ringkas di luar mesyuarat dengan beberapa ketua kerajaan negara APEC.
Anwar turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.
Keesokan harinya pula, Anwar akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 di Pusat Komunikasi Antarabangsa Shenzhen. Beliau juga akan bertemu dengan beberapa lagi pemain industri Malaysia dan antarabangsa di sana.
Perdana Menteri dijadualkan berlepas ke Rumah Tetamu Negara Qilin Villa pada Jumaat untuk menghadiri mesyuarat dua hala dengan Xi. Beliau akan diiringi beberapa anggota Kabinet termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan penasihat yang lain.
Delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pelbagai hala di samping melonjakkan peluang perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara anggota ekonomi.
Negara-negara ekonomi APEC merupakan rakan dagang terbesar Malaysia yang menyumbang hampir 80 peratus daripada jumlah perdagangan negara, bernilai kira-kira RM2.34 trilion.
Tuan rumah tahun ini, China, kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion pada tahun 2025.
Sebagai antara anggota pengasas APEC, penyertaan aktif Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC mengesahkan komitmen teguh negara untuk memajukan kerjasama ekonomi serantau, kemakmuran bersama, dan pembangunan yang inklusif.
© New Straits Times Press (M) Bhd