BATU PAHAT: Remaja perempuan berusia 17 tahun antara dua ditemui rentung dalam sebuah kereta yang terbakar sejurus terbabit kemalangan di Jalan Jaya Diri, Rengit dekat sini, malam tadi.
Baca juga: Toyota Yaris Facelift 2027 Tiba Di Malaysia, Wajah Baharu ‘Hammerhead’ Dari RM90,400!
Selain remaja itu, seorang lagi mangsa yang turut rentung dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu ialah lelaki berusia 22 tahun.
Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kereta jenis Saga BLM dinaiki.
Sementara dua lagi mangsa yang juga pemandu dan penumpang Proton Wira yang turut terbabit kemalangan iaitu masing-masing lelaki dan wanita berusia 37 dan 61 tahun dilapor cedera.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Mohd Khairul Azmi Ngatman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.01 malam sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang menaiki Proton Wira didapati tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota menggunakan peralatan khas.
“Kemalangan itu menyebabkan Proton Saga BLM terbakar kira-kira 60 peratus. Berdasarkan keterangan saksi, terdapat dua mangsa yang tersepit dan rentung dalam kenderaan berkenaan.
“PKO menjalankan operasi pemadaman menggunakan aliran salur bantu mula, manakala sebuah ambulans turut dibawa ke lokasi bagi memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera.
“Mayat kedua-dua mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd