LATEST

Bunuh tanpa niat, penganggur dipenjara 13 tahun

Bunuh tanpa niat, penganggur dipenjara 13 tahun

am@hmetro.com.my

Baca juga: Kemelut di N. Sembilan: Ismail Lasim menghadap Tuanku Muhriz lebih sejam

Melaka: Penganggur dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi, hari ini kerana menyebabkan kematian tanpa niat wanita warga emas yang dikenalinya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk DJP Suria Kumar membuat keputusan itu selepas tertuduh, D Peter, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Suria berkata, hukuman terbabit dikenakan selepas menimbang rayuan peguam, hujahan pemberat daripada pihak pendakwaan dan laporan sosial tertuduh serta memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 20 Januari 2023.

Mengikut pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Misah Amin, 91, tanpa niat membunuhnya di sebuah rumah di Kampung Pulai Darat, Merlimau, Jasin pada 1.30 pagi, 20 Januari 2023.

Sebelum ini, pertuduhan asal dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Saleh, manakala tertuduh diwakili peguam KA Ramu.

Terdahulu, mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan atas faktor kepentingan awam bahawa tertuduh melakukan perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa wanita yang lanjut usia.

“Mak cik (mangsa) itu tidak buat apa-apa, tidak bersalah. Kamu tampar, tumbuk dia, ada fikirkah? Mesti dia rasa sakit dengan usia yang tua tidak terdaya melawan kamu.

“Mahkamah tidak boleh buta tuli terhadap tindakan kamu yang kejam terhadap mangsa. Kamu tahu umur dia, bayangkan mangsa adalah nenek kamu,” katanya ketika memberikan penghakiman lisan.

Mahkamah turut menasihati ibu tertuduh yang berada di galeri awam supaya tidak berputus asa membimbing tertuduh ke arah kebaikan walaupun sukar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news