LATEST

Brazil mengamuk, Singapura dibelasah 7-0

Brazil mengamuk, Singapura dibelasah 7-0

Singapura: Brazil membuktikan jurang kualiti antara gergasi bola sepak dunia dan wakil Asia Tenggara apabila membelasah Singapura 7-0 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Kallang, hari ini.

Baca juga: Mawi bangkit semula dengan Pawana Pawaka

Skuad kendalian Carlo Ancelotti tampil dengan barisan terbaik apabila mempertaruhkan trio serangan Vinicius Jr, Endrick dan Estevao bagi mengetuai misi memburu kemenangan.

Singapura bimbingan Gavin Lee pula mempertaruhkan gabungan pemain berpengalaman dan tonggak muda dalam usaha menyekat asakan Brazil, selepas tewas 1-4 kepada Paraguay sebelum ini.

Brazil yang turun dengan misi bangkit selepas dikejutkan Jepun 2-3 pada aksi terdahulu, tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Vinicius pada minit kesembilan.

Penyerang berusia 26 tahun itu kemudian menggandakan kelebihan enam minit berselang sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-21 menerusi penyudah tenang hasil hantaran Estevao dari sebelah kanan.

Brazil terus menambah derita tuan rumah apabila Endrick menyudahkan hantaran Estevao pada minit ke-31 untuk meletakkan pasukannya selesa mendahului 4-0 ketika tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Brazil terus mengasak dan memperoleh gol kelima menerusi Estevao pada minit ke-51 sebelum Rayan menambah jaringan keenam pada minit ke-65.

Malang buat Singapura apabila pemain gantian, Raoul Suhaimi tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-74 untuk menghadiahkan gol ketujuh kepada Brazil.

Tambahan masa enam minit gagal mengubah kedudukan apabila Brazil mengekalkan kemenangan besar 7-0 sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Brazil memperoleh tambahan 0.54 mata kepada 1,800.90 mata, manakala Singapura kehilangan jumlah mata sama dan dijangka kekal di kedudukan masing-masing menjelang kemas kini ranking rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news