surayaroslan@mediaprima.com.my
Baca juga: Dari teknologi asing kepada kepakaran sendiri! Malaysia, Perancis pacu industri pertahanan negara
Shah Alam: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan dua wakilnya mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat serta bersetuju membayar kos berjumlah RM100,000 kepada bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim bagi menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan terhadap mereka.
Persetujuan itu direkodkan menerusi penghakiman persetujuan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Anita Harun di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Selain permohonan maaf dan bayaran kos berkenaan, MHO, Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, 47, dan Ketua Unit Pemerdagangan Manusia MHO, Azirul Syafiq, 31, selaku defendan turut bersetuju menarik balik tuntutan balas terhadap bekas Ahli Parlimen Baling itu tanpa sebarang kos.
Terdahulu, Mashitah memfailkan saman fitnah berkenaan susulan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan kegiatan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sejak dua tahun lalu.
Menerusi penghakiman berkenaan, ketiga-tiga defendan mengakui membuat kekhilafan apabila merujuk beberapa penerbitan oleh Justice For Myanmar, Irrawaddy Post, Scoop.com serta laporan United States Institute of Peace yang mengaitkan Mashitah dan suaminya, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar dengan isu pemerdagangan manusia serta penyeludupan migran.
Mereka turut mengakui kenyataan yang dibuat menerusi sidang media pada 28 Ogos 2024, kenyataan media bertarikh 26 Ogos 2024 serta hantaran Facebook pada 3 September 2024 telah mencemarkan nama baik dan menjejaskan reputasi pasangan berkenaan, selain menyebabkan tekanan tidak wajar serta kerugian kepada mereka.
Ketiga-tiga defendan turut berakujanji tidak akan mengulangi, menerbitkan atau menyebarkan sebarang kenyataan dan tuduhan berkaitan plaintif di mana-mana medium.
Mashitah dan ketiga-tiga defendan turut bersetuju bahawa penghakiman persetujuan itu adalah penyelesaian penuh dan muktamad terhadap tuntutan saman serta tuntutan balas dalam kes berkenaan.
Mashitah diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader bersama Meor Hafiz Salehan dan Fatin Izyan Mazlan, manakala ketiga-tiga defendan diwakili peguam Nur Fazrin Ahmad bersama Muhammad Falaq Adnan.
Pada 9 September 2024, Mashitah memfailkan saman berkenaan dengan menamakan MHO, Hishamuddin dan Azirul Syafiq sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mashitah mendakwa beberapa kenyataan yang diterbitkan menerusi platform media sosial pada Ogos dan September 2024 membawa maksud kononnya beliau serta suaminya mempunyai kaitan dengan syarikat Dongmei Group yang didakwa terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia dan penipuan di Myanmar.
Beliau mendakwa penerbitan kenyataan berkenaan menjejaskan reputasi dan maruahnya serta suami.
Sementara itu, Mashitah menerusi hantaran di Facebook berkata, kebenaran akhirnya menjelma selepas dua tahun beliau dan suaminya berjuang.
“Biarpun kes sudah menang, maaf telah dipohon, namun menyebarkan fitnah, menjatuhkan reputasi dan maruah sebelum tabayyun adalah dosa yang lebih dahsyat daripada membunuh.
“Kepada yang melemparkan cacian, nista, kata-kata pedas angkara fitnah MHO Myanmar, saya serahkan mereka kepada ketentuan Allah yang Maha Adil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd