LATEST

Malaysia-Perancis naik taraf hubungan kepada tahap perkongsian strategik

Malaysia-Perancis naik taraf hubungan kepada tahap perkongsian strategik

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Baca juga: PM ucap takziah polis maut kemalangan di Perak

Kuala Lumpur: Malaysia dan Perancis bersetuju menaik taraf hubungan dua hala kepada tahap perkongsian strategik yang membuka lembaran baharu kerjasama melangkaui sektor tradisional merangkumi pertahanan, unsur nadir bumi, tenaga nuklear awam dan semikonduktor.

Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata, keputusan itu dicapai bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Daripada segi kerjasama pertahanan dan keselamatan, Malaysia dan Perancis mempunyai pelan hala tuju bagi industri berkenaan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai, hari ini.

“Malah, kedua-dua pihak juga sudah memeterai perjanjian penting membabitkan helikopter penyelamat keluaran Airbus selain mengadakan perbincangan positif mengenai keupayaan kapal selam.

“Kita juga akan melancarkan sebuah pusat Perancis-Malaysia bagi menentang ancaman hibrid yang akan membantu melatih petugas awam dan ketenteraan bagi kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam majlis sambutan sempena lawatan rasminya di Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS), di sini, hari ini.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Macron berkata, Perancis sebagai pelabur Eropah kedua terbesar di Malaysia dengan lebih 300 syarikat beroperasi di negara ini memberikan sokongan penuh terhadap rundingan perdagangan dan pelaburan antara Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia.

“Projek perindustrian antara syarikat Perancis dan syarikat tempatan yang dimulakan semasa lawatan Anwar ke Paris pada tahun lalu dijangka mula beroperasi seawal awal tahun depan.

“Projek itu merangkumi pengekstrakan dan pemprosesan di Malaysia serta keupayaan penapisan di Perancis dengan sokongan teknikal daripada Biro Penyelidikan Geologi dan Perlombongan (BRGM) Perancis yang akan menempatkan pakarnya di sini,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan Perancis untuk menjadi rakan kongsi dalam bidang tenaga nuklear awam bagi menyokong usaha penyahkarbonan Malaysia selain memperkukuh kerjasama antara PETRONAS dan TotalEnergies dalam sektor gas asli cecair (LNG).

“Kerjasama yang diumumkan hari ini, antara syarikat Perancis dan Malaysia adalah sejajar dengan aspirasi Grid Tenaga ASEAN khususnya dengan memperkukuh sambungan elektrik di rantau ini.

“Dalam bidang pendidikan tinggi dan kebudayaan pula, pemeteraian MoU pada hari ini membolehkan program biasiswa dan penyelidikan bersama dilancarkan semula tahun depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news