LATEST
National

Jualan pelekat Istana Negara, VVIP terbuka dalam talian cetus kebimbangan

Jualan pelekat Istana Negara, VVIP terbuka dalam talian cetus kebimbangan

KUALA LUMPUR: Penjualan pelekat kenderaan eksklusif memaparkan lambang Istana Negara, status VVIP dan lencana agensi keselamatan secara terbuka di sebuah platform e-dagang kini mengundang polemik serta kebimbangan awam berhubung risiko keselamatan.

Baca juga: Bil Elektrik Melambung? Ini Cara Bagaimana Tabiat Penggunaan Peralatan Elektrik Boleh Bawa Perbezaan

Tinjauan wartawan mendapati pautan e-dagang berkenaan secara terang-terangan mengiklankan produk pada harga serendah RM100.

Lebih mengejutkan, penjual yang sama didapati memuat naik pelbagai variasi pelekat kereta rasmi lain di bawah kategori ketibaan baharu.

Antara yang ditawarkan kepada umum termasuk ‘Johor VVIP Istana Car Sticker’ yang dipasarkan pada harga RM110, dan ‘2026 Malaysia Madani VIP Car Sticker’ pada harga RM100, yang merekodkan jualan sebanyak 14 unit.

Selain pelekat kenderaan untuk kegunaan awam, aksesori ketenteraan seperti lencana kolar (metal badge) ‘Airwings’ milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut dijual secara bebas pada harga serendah RM25.

Lencana berkenaan juga mendapat sambutan dengan rekod jualan 14 unit serta menerima penarafan 4.8 bintang daripada pembeli.

Akses terbuka yang membolehkan sesiapa saja membuat pembelian secara dalam talian ini mengundang pelbagai reaksi, khususnya mengenai potensi eksploitasi oleh sindiket penipuan atau individu yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat kebimbangan berasas bahawa lambang dan lencana ini boleh disalah guna untuk tujuan penyamaran sebagai orang kenamaan (VIP) atau pegawai penguat kuasa.

Modus operandi sebegini dipercayai sering digunakan untuk meraih keistimewaan tertentu seperti laluan mudah di jalan raya, mengelak pemeriksaan polis, atau mendapatkan akses ke kawasan premis larangan.

Wartawan kini sedang mendapatkan respon daripada pihak berkuasa.

Untuk rekod, pembuatan dan penggunaan mana-mana lambang, nama dan rupa kebesaran rasmi tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta akta-akta berkaitan anugerah, yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news