LATEST
National

‘Walaupun penoreh getah yang miskin, ibu ayah kami berjaya lahirkan 46 doktor dalam keluarga’ – Dr Lim Boon Sho

‘Walaupun penoreh getah yang miskin, ibu ayah kami berjaya lahirkan 46 doktor dalam keluarga’ –  Dr Lim Boon Sho

KUALA LUMPUR: “Kesukaran mendapatkan rawatan di hospital hingga terpaksa menunggu lama satu ketika dulu menyebabkan ayah yang juga penoreh getah mahu ada anaknya menjadi doktor dan impian itu tercapai apabila keluarga kami kini ada 46 doktor termasuk cucu dan cicitnya,” kata Datuk Dr Lim Boon Sho.

Baca juga: Jalaluddin Alias Bakal Jadi MB Negeri Sembilan Baharu?

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap dan pemilik Klinik Lim di Nibong Tebal, Pulau Pinang, berkata daripada 11 adik-beradiknya, lapan lelaki menjadi doktor dan seorang ahli perniagaan, manakala adik perempuannya menjadi peguam dan seorang lagi suri rumah.

Katanya, kehidupan serba kekurangan sebagai penoreh getah tidak menjadi halangan mendiang ibu, Loo Siew Chin dan bapanya, Lim Tang Too, membina legasi luar biasa itu apabila ada 46 doktor termasuk pakar dalam keluarganya.

Dr Boon Sho berkata, bagi memastikan mereka menjadi doktor, ibu dan bapanya sangat mengutamakan pendidikan dan menguruskan perbelanjaan keluarga secara berhemah.

“Ibu saya dilahirkan pada 1922 tidak bersekolah dan sentiasa berkorban bersama ayah demi memastikan 11 anak mendapat peluang pendidikan lebih baik.

“Bagi mereka, pendidikan bukan sekadar jalan keluar daripada kemiskinan, sebaliknya warisan ‘paling berharga untuk kami mengubah kehidupan.

“Kami belajar bersungguh-sungguh walaupun miskin, terutama saya sebagai abang sulung perlu menjadi contoh terbaik kepada adik-beradik lain,” katanya.

Siew Chin yang meninggal dunia pada usia 104 tahun pada Khamis lalu, dan suaminya tinggal di Kampung Belemang, Serom, Johor, sebelum berpindah ke Muar selepas berdepan gangguan komunis, mengatur perbelanjaan keluarga dengan pendidikan menjadi keutamaan.

Dr Boon Sho berkata, di sebalik kesempitan hidup ketika itu, dia dan adik-beradiknya belajar berdikari membantu membersihkan sayuran dan ikan di pasar pada hujung minggu, dengan upah antara RM1 hingga RM2.

Beliau masih mengingati kesusahan keluarganya termasuk pengalaman membawa pulang ikan hampir busuk selepas membantu peniaga di pasar atau roti yang dibelikan lelaki tua berbangsa Cina yang bersimpati dengan kemiskinan keluarganya.

“Ayah buat pelbagai kerja termasuk menjual buah-buahan, mengambil kerja sambilan dan buka kedai runcit kecil untuk menambah pendapatan keluarga.

“Ketika itu, setiap kali sakit, kami menunggu lama untuk rawatan di Hospital Muar dan pengalaman itu mendorong ayah menyuarakan hasrat supaya ada doktor dalam keluarga sendiri.

“Impian itu jadi kenyataan apabila saya melanjutkan pengajian bidang perubatan di India pada 1964, dengan sokongan Biasiswa Lee Foundation dan bantuan daripada Hospital Adventist Pulau Pinang,” katanya.

Selepas itu, tujuh lagi adik lelakinya melanjutkan pengajian bidang perubatan di India, Australia dan England walaupun ada kekangan kewangan.

Dr Boon Sho berkata, beliau membantu membiayai pengajian adiknya yang lain, selain sokongan saudara-mara dan Persatuan Klan Lim, malah seorang rakan keluarga menawarkan bantuan dan meminta mereka belajar bersungguh-sungguh serta membayar semula wang itu apabila berjaya menjadi doktor.

“Ayah sangat tegas, ketika adik ketujuh saya, Dr Boon Hock mahu menjadi peguam tetapi tidak dapat keputusan akademik diperlukan, ayah bertemu adik dan memaklumkan dia akan dihantar ke India untuk menjadi doktor.

“Apabila adik persoalkan kemampuan keluarga membiayai pengajian itu, ayah berjanji mencari wang dengan apa cara sekalipun, termasuk meminta atau meminjam,” katanya.

Sementara itu, adik perempuan bongsu, Karin Lim Ai Ching, turut dihantar ke Australia untuk belajar perubatan, namun akhirnya memilih bidang undang-undang dan berjaya menjadi peguam.

“Kami bangga atas kejayaan ibu bapa membina legasi apabila ada 45 doktor termasuk pakar dan profesor madya di Universiti Malaya dalam keluarga ini termasuk anak, cucu dan cicit.

“Semua doktor ini berkhidmat di hospital kerajaan dan swasta, selain beberapa klinik di seluruh negara yang menggunakan nama keluarga, malah kami juga berhasrat membina hospital keluarga di Jawi Jaya, Seberang Perai Selatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news