LATEST
National

AS kenakan kawalan eksport baharu cip AI terhadap Malaysia, empat negara lain

AS kenakan kawalan eksport baharu cip AI terhadap Malaysia, empat negara lain

KUALA LUMPUR: Malaysia bersama empat negara lain berdepan penelitian lebih ketat terhadap import cip kecerdasan buatan (AI) termaju susulan kawalan eksport baharu Amerika Syarikat (AS) menerusi langkah terkini Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Jabatan Perdagangan negara itu.

Baca juga: Kerajaan perlu dedah asas pengurangan premium tanah KLSCAH daripada RM4.67 juta kepada RM1,000

AS menyenaraikan Singapura, Thailand, Indonesia, Brazil dan Malaysia sebagai destinasi yang memerlukan lesen bagi penghantaran semikonduktor termaju tertentu berikutan risiko pengalihan teknologi yang lebih tinggi daripada kebiasaan.

Langkah itu berpotensi merumitkan proses perolehan dan penggunaan unit pemprosesan grafik (GPU) termaju di negara terbabit, sekali gus memberi kesan kepada pengendali pusat data, pembekal cip dan perniagaan pengkomputeran awan.

UOB Kay Hian berkata, kesan terhadap Malaysia sebahagian besarnya bergantung kepada struktur pemilikan syarikat yang menerima cip berkenaan serta pengguna akhir yang mengakses kapasiti pengkomputeran itu.

Penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan AS yang membawa masuk cip termaju ke Malaysia untuk kegunaan operasi sendiri berkemungkinan layak mendapat pengecualian, tertakluk kepada pematuhan keperluan pelaporan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya, pengendali pusat data tempatan yang menerima cip secara langsung mungkin berdepan keperluan pelesenan tambahan, manakala kemudahan yang membekalkan kapasiti pengkomputeran berskala besar kepada pelanggan di bidang kuasa yang dikenakan sekatan berpotensi berdepan penelitian lebih ketat.

Pada Isnin, BIS mengeluarkan peraturan muktamad interim bagi menghalang syarikat di bidang kuasa yang dikenakan sekatan, khususnya China daripada mengakses teknologi pengkomputeran termaju AS melalui pusat data yang beroperasi di negara ketiga.

Langkah itu bertujuan menutup kemungkinan ruang kelemahan yang membolehkan syarikat yang tidak dapat membeli cip AS yang dikenakan sekatan secara langsung menyewa kapasiti pengkomputeran dari jauh menerusi kemudahan di luar negara.

Menerusi keperluan baharu itu, pengendali pusat data, pengeluar cip dan pengeksport perlu melaksanakan usaha wajar pelanggan yang lebih ketat, termasuk pemeriksaan terhadap struktur pemilikan dan kawalan pelanggan.

Sekatan itu meliputi pusat data di luar negara yang menyediakan kapasiti pengkomputeran ketara kepada syarikat yang beribu pejabat di China dan bidang kuasa lain yang tertakluk kepada sekatan AS termasuk Macau.

Kemudahan yang menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan sedemikian boleh berdepan keperluan pelesenan tambahan, meskipun cip termaju berkenaan secara fizikalnya berada di luar pasaran yang dikenakan sekatan.

Bagaimanapun, sistem pengkomputeran yang digunakan secara eksklusif untuk perkhidmatan cadangan komersial biasa, seperti cadangan produk dalam platform beli-belah dalam talian dan media sosial, dikecualikan daripada sekatan berkaitan akses jarak jauh itu, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Bagi lima destinasi yang baru dikenal pasti itu, penghantaran semikonduktor termaju yang tertakluk kepada kawalan terbabit secara amnya memerlukan kelulusan AS.

Pengecualian disediakan bagi penghantaran kepada syarikat yang beribu pejabat di AS atau syarikat yang syarikat induknya beribu pejabat di negara itu, dengan syarat keperluan pelaporan khusus dipenuhi.

Peraturan itu turut memperketat sekatan terhadap pengaturan pembuatan dan pembungkusan cip termaju di luar negara, sekali gus mengehadkan keupayaan pereka cip yang terjejas menggunakan kemudahan fabrikasi semikonduktor asing tanpa kelulusan AS.

Ia juga secara rasmi menarik balik Peraturan Penyebaran AI yang diperkenalkan oleh pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden sebelum ini.

Sekatan terbaharu itu mencerminkan usaha AS yang semakin dipertingkatkan bagi menghalang teknologi pengkomputeran termaju daripada sampai kepada pengguna yang dikenakan sekatan menerusi pengaturan tidak langsung, sambil mengekalkan akses bagi aplikasi komersial yang sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news