LATEST

Pasangan suami isteri didakwa bunuh bapa

Pasangan suami isteri didakwa bunuh bapa

SEREMBAN: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang juga bapa mereka, di Rasah Jaya di sini pada 3 November lalu.

Tertuduh, B. Balamurali, 32, dan isterinya, S. Sangitha, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Baca juga: Menteri Agama tawan Gunung Kinabalu, penanda arah kiblat ditempatkan di hentian pendakian

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh K. Balakrishnan, 63, di sebuah rumah pangsa di Rasah Jaya kira-kira pukul 11 malam pada 3 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusspa.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan tiga individu termasuk dua wanita berusia antara 28 hingga 34 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa ditahan pada 5 November lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kes itu turut mendapat perhatian selepas video memaparkan seorang lelaki memukul belakang badan mangsa menggunakan getah paip ketika warga emas berkenaan berada di atas kerusi roda tular di media sosial.

Dalam rakaman itu, mangsa dilihat dipukul selepas dipercayai enggan menjamah makanan yang disuapkan kepadanya.

Difahamkan, kejadian berlaku di Rasah Jaya dan urusan pengebumian mangsa yang dijadualkan pada 4 November lalu ditangguhkan bagi membolehkan mayatnya menjalani bedah siasat. – UTUSAN

The post Pasangan suami isteri didakwa bunuh bapa appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news