LATEST

45 hari penuh pengalaman! PLKN 3.0 bukan sekadar latih fizikal, Khaled mahu anak muda jadi aset berharga negara

45 hari penuh pengalaman! PLKN 3.0 bukan sekadar latih fizikal, Khaled mahu anak muda jadi aset berharga negara

Gelak tawa, persahabatan baharu dan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan. Siapa sangka, hanya dalam tempoh 45 hari, sekumpulan anak muda daripada pelbagai latar belakang mampu membina ikatan persaudaraan yang begitu erat, selain menemui kekuatan diri yang selama ini tidak mereka sedari.

Daripada rutin bangun seawal pagi, menjalani latihan ketenteraan sehingga berkongsi suka duka bersama rakan berlainan bangsa dan agama, setiap pengalaman di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 membawa cerita tersendiri buat mereka.

Baca juga: Malaysia perlu ambil langkah proaktif hadapi cabaran populasi menua

Suasana penuh bermakna itu dapat dirasai pada Majlis  Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026  di Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 515, Kuala Lumpur, hari ini apabila 236 pelatih wanita menamatkan perjalanan yang bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, tetapi turut membentuk keperibadian mereka.

Bukan sekadar latihan, tetapi membina generasi cintakan negara

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyempurnakan majlis berkenaan menyifatkan pengalaman sepanjang PLKN sebagai bekalan penting buat generasi muda sebelum melangkah ke alam kehidupan yang lebih mencabar.

Menurut beliau, setiap cabaran yang ditempuhi pelatih sepanjang berada di kem sama ada pengalaman manis mahupun pahit merupakan sebahagian daripada proses membina kekuatan emosi, disiplin dan keyakinan diri.

Lebih penting, beliau mahu semangat cintakan tanah air yang diterapkan sepanjang latihan terus menjadi pegangan mereka walaupun selepas meninggalkan kem.

“Tanah air kita adalah maruah kita. Kita mesti mempertahankannya dengan apa sahaja cara sekalipun.
“Benar bahawa senjata canggih dan pasukan tentera yang kuat adalah aset yang mesti dibangunkan bagi mempertahankan kedaulatan negara.
“Namun, generasi muda seperti saudari-saudari sekalian yang mempunyai nilai kasih pada tanah air, mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi merupakan aset yang jauh lebih bernilai dan tiada tolok bandingnya,” katanya.

Mohamed Khaled turut mengingatkan pelatih bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang mereka temui sepanjang latihan seharusnya diraikan sebagai kekuatan, bukannya menjadi penghalang untuk membina persahabatan.

Baginya, perpaduan bukan sekadar berkumpul di tempat yang sama tetapi lahir daripada kesediaan untuk saling memahami, menghormati perbezaan dan bekerjasama demi kepentingan bersama.

PLKN terus diperkasa, peluang kemahiran turut diberi perhatian

Dalam pada itu, Mohamed Khaled ketika ditemui pada sidang media selepas majlis berkata, kejayaan PLKN 3.0 bukan hanya diukur melalui jumlah pelatih yang berjaya menamatkan latihan, tetapi juga perubahan positif yang dibawa pulang oleh setiap peserta.

Beliau berkata, kementerian sentiasa mendapatkan pandangan, tahap kepuasan dan cadangan daripada pelatih bagi memastikan program berkenaan terus relevan dengan keperluan generasi muda.

Malah, pelaksanaan PLKN akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan lima matlamat utamanya termasuk membentuk perwatakan positif, memupuk patriotisme, mengukuhkan perpaduan dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan.

“Kita akan tambah baik berasaskan kepada matlamat yang lima. Kalau kita rasakan ada kekurangan, kita akan tambah baik.
“Kita juga mendapatkan input terutama daripada kalangan peserta,” ujar beliau.

Menariknya, perjalanan pelatih tidak semestinya terhenti selepas tamat program kerana kerajaan turut berusaha membuka ruang kepada mereka untuk meneroka bidang kemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mohamed Khaled menjelaskan, pelatih yang layak boleh meneruskan pengajian ke universiti, manakala mereka yang tidak mendapat peluang berkenaan akan dibantu mendapatkan laluan meningkatkan kemahiran dan memperoleh sijil berkaitan.

“Selepas sahaja latihan ini, mana yang layak ke universiti akan terus masuk ke universiti. Selain itu, yang tak ada peluang akan kita salurkan untuk menyertai TVET supaya mereka menambah kemahiran.
“Pokoknya melalui ini, dia mempunyai keyakinan diri, dia tahu apa hala tuju dia, dia nak jadi seorang yang berguna pada negara,” jelasnya.

Turut hadir ke majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mej Jen Datuk Marzuki Mokhtar; serta pegawai- pegawai kanan awam dan tentera warga MINDEF.

Impian arwah ayah jadi pembakar semangat Nurul Danieyla

Di sebalik barisan pelatih yang berdiri penuh yakin pada hari tamat latihan itu, tersimpan kisah seorang anak muda yang membawa bersama impian arwah bapanya.

Bagi Nurul Danieyla Aqsya Mohamad Faudzi, 18, menyertai PLKN bukan sekadar mahu merasai kehidupan sebagai seorang anggota tentera, tetapi menjadi langkah pertama untuk merealisasikan hasrat insan tersayang yang sudah tiada.

Anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui minat mendalam terhadap bidang ketenteraan turut didorong oleh impian arwah bapanya yang mahu melihat dia menyarung pakaian seragam tentera suatu hari nanti.

Walaupun pada awalnya berasa takut selepas permohonan sukarela bersama rakannya berjaya, Nurul Danieyla memilih untuk mencabar diri dan tidak mensia-siakan peluang yang hadir.

Namun, perjalanan sepanjang 45 hari itu bukan semuanya mudah.

Tanggungjawab sebagai ketua pernah membuatkannya berasa tertekan sehingga terlintas untuk berputus asa. Bagaimanapun, kata-kata semangat daripada jurulatih dan rakan-rakan menjadi kekuatan untuk dia terus bertahan.

“Rasa nak putus asa itu ada sebab rasa tertekan sedikit bila menjadi seorang ketua.
“Tapi bila saya dapat sokongan daripada jurulatih dan rakan-rakan sendiri, saya terus bangkit dan bersemangat. Tidak boleh berputus asa,” katanya.

Antara pengalaman paling menyeronokkan buatnya ialah peluang menyertai latihan menembak, selain aktiviti abseiling dan rappelling yang memberikan pengalaman baharu dalam dunia ketenteraan.

Malah, kehidupan di kem turut mengubah rutinnya yang sebelum ini tidak gemar bangun awal pagi kepada seorang yang lebih berdisiplin dan yakin memimpin orang lain.

Lebih menyentuh hati, apabila ditanya mengenai impian arwah bapanya, Nurul Danieyla tidak menyembunyikan hasrat untuk meneruskan cita-cita tersebut.

“Arwah ayah saya nak tengok anak dia jadi tentera,” ujarnya.

Kini, dia merancang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sebelum memohon menjadi pegawai Tentera Darat, sekali gus berharap dapat menjadi individu pertama dalam keluarganya yang menyertai bidang berkenaan.

Daripada tidak mengenali sesiapa, Kah Sim kini berat hati berpisah

Jika Nurul Danieyla hadir membawa impian keluarga, Choong Kah Sim, 18, pula menemukan sesuatu yang tidak pernah dijangkakan iaitu persahabatan yang merentasi perbezaan bangsa dan agama.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, Kah Sim mengakui hari-hari pertama di kem bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila perlu menyesuaikan diri dengan rakan-rakan yang belum dikenalinya.

Pada mulanya, suasana makan bersama juga terasa kekok kerana masing-masing masih malu untuk memulakan perbualan.

Namun, semakin banyak aktiviti dilakukan bersama, semakin rapat hubungan yang terjalin sehingga perbezaan latar belakang tidak lagi menjadi penghalang untuk mereka bergurau, bekerjasama dan berkongsi pengalaman.

“Pernah sebab mula-mula dekat sini tak ada kawan. Lepas itu semua tak sama agama, kena makan sama-sama tapi tak bercakap pun. Rasa kekok sedikit.
“Lepas itu, bila banyak aktiviti dan semua orang sertai sekali, barulah rasa seronok,” ceritanya.

Bukan sekadar memperoleh rakan baharu, Kah Sim turut menyedari perubahan dalam dirinya terutama dari segi pengurusan masa dan disiplin.

Jika dahulu dia boleh tidur sehingga petang dan sering meninggalkan sarapan, kehidupan di kem mengajarnya untuk bangun awal, menjaga waktu makan serta tidur mengikut jadual.

Namun, perubahan paling besar mungkin bukan pada rutin hariannya, sebaliknya perasaan yang hadir apabila tiba masanya untuk meninggalkan kem.

“Macam nak dekat sini lagi sebab banyak kawan dekat sini. Lepas ini tak boleh jumpa kawan dah, rasa sedih sedikit,” katanya lagi.

Bagi Kah Sim, pengalaman itu membuktikan bahawa PLKN mampu menjadi tempat terbaik untuk generasi muda mengenali satu sama lain sekali gus memupuk semangat perpaduan melalui persahabatan yang terbina secara semula jadi.

Malah jika diberi peluang, dia tidak keberatan untuk menyertai program sama sekali lagi.

Sudah bergelar graduan, Priya tetap mahu rasai pengalaman PLKN

Bagi sesetengah individu, tamat pengajian di universiti mungkin menjadi permulaan untuk mencari pekerjaan dan membina kerjaya.

Namun Priyadarsini a/p Gunalan, 24, memilih pengalaman berbeza apabila mengambil keputusan menyertai PLKN 3.0 secara sukarela walaupun sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dalam bidang Psikologi.

Priya berkata, dia sudah lama menyimpan keinginan untuk menyertai program berkenaan, namun tidak berpeluang berbuat demikian ketika berada di bangku sekolah kerana pelaksanaannya dihentikan sebelum ini.

Justeru, apabila PLKN diperkenalkan semula, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai sendiri latihan yang selama ini hanya mampu dibayangkan.

Minat terhadap bidang keselamatan termasuk polis dan tentera turut mendorongnya untuk mencabar kemampuan diri, selain mempelajari sesuatu yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan.

Bagi Priya, pengalaman tersebut benar-benar mengubah cara dia menguruskan kehidupan seharian, terutama apabila perlu membiasakan diri dengan jadual yang jauh berbeza daripada rutin sebelumnya.

“Memang betul, sebab sebelum ini jujurnya saya bangun pukul 8, 9 pagi macam itu. Tapi dekat sini kena bangun pukul 3, 3.45 pagi sebab kena berbaris awal-awal.
“Saya juga ketua bilik, jadi saya bangun awal dan kejutkan kawan-kawan bilik semua,” jelas Priya.

Malah, perkara sekecil mandi menggunakan air sejuk turut menjadi pengalaman baharu buat dirinya yang sebelum ini lebih selesa menggunakan air panas.

Namun, dia melihat setiap perubahan itu sebagai latihan untuk menjadi individu yang lebih kuat, berdikari dan mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan.

Selain disiplin, Priya turut menghargai peluang mengenali rakan-rakan daripada pelbagai kaum dan latar belakang termasuk masyarakat dari Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, sikap saling membantu yang ditunjukkan rakan-rakan sepanjang latihan membuatkannya berasa bangga kerana dapat menyaksikan sendiri semangat perpaduan yang sering diperkatakan.

Pengalaman itu juga menjadikan Priya antara individu yang berharap PLKN terus dilaksanakan supaya lebih ramai anak muda berpeluang menikmati manfaat sama.

“Memang relevan. Saya memang akan cakap jangan hentikan, teruskan.
“Program ini ada pelbagai pengajaran dan sangat bermakna untuk dibawa dalam kehidupan di luar juga,” tambahnya.

1,899 wira muda tamat latihan, penyertaan melepasi sasaran

Kisah tiga pelatih berkenaan hanyalah sebahagian daripada pengalaman 1,899 wira muda yang berjaya menamatkan PLKN 3.0 Siri 4/2026 selepas menjalani latihan selama 45 hari.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (MINDEF), jumlah itu mencatatkan pencapaian 102 peratus berbanding sasaran asal 1,860 pelatih, sekali gus memperlihatkan sambutan memberangsangkan terhadap siri terakhir bagi tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,149 merupakan pelatih lelaki manakala 750 lagi pelatih wanita yang ditempatkan di enam CLKN dan dua Pusat Latihan RELA di seluruh negara.

Selain di CLKN 515, majlis perbarisan tamat latihan turut berlangsung secara serentak di Hutan Melintang, Perak melibatkan 269 pelatih dan Pusat Latihan RELA Negeri Sabah membabitkan 233 pelatih.

Sepanjang tempoh latihan, semua peserta mengikuti silibus yang merangkumi 70 peratus modul ketenteraan dan 30 peratus modul kenegaraan, berteraskan tiga nilai utama iaitu cinta negara, perpaduan dan kesukarelawanan.

Kesemua pelatih turut menerima Sijil Tamat Latihan dan diiktiraf secara rasmi sebagai anggota Angkatan Khidmat Negara (AKN).

Bagi Nurul Danieyla, Kah Sim dan Priya, tamatnya latihan bukan bermakna segala yang dipelajari akan ditinggalkan di kem.

Sebaliknya, 45 hari itu menjadi permulaan kepada perjalanan baharu, dengan seorang semakin hampir mengejar impian arwah bapa, seorang lagi membawa pulang persahabatan merentasi kaum, manakala seorang graduan menemui pengalaman berharga untuk membina kekuatan diri.

Walaupun masing-masing bakal membawa haluan berbeza, mereka berkongsi satu pengalaman yang sama, iaitu PLKN 3.0 telah memberikan lebih daripada sekadar latihan, tetapi kenangan, nilai kehidupan dan keyakinan untuk melangkah ke hadapan.

Latest news