bhnews@bh.com.my
Baca juga: Nigeria bebaskan 78 individu selepas serangan konvoi Bola Tinubu
Kuala Lumpur: Mayat lelaki dengan tatu berbentuk bintang di leher kanan ditemukan hanyut di sungai berhampiran Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, terdahulu, pihaknya dimaklumkan berkaitan penemuan itu oleh orang awam, jam 9.35 pagi.
“Identiti dan status kewarganegaraan si mati masih belum dapat dikenal pasti.
“Mayat lelaki berbadan berisi itu ditemukan dalam keadaan tidak berbaju, hanya berseluar jeans biru dan stokin,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, kulit pada lengan kiri mayat mengalami kecederaan selain tiada dokumen pengenalan diri ditemukan.
“Bedah siasat dijalankan, jam 7.40 malam hari sama di Hospital UiTM Puncak Alam oleh pakar patologi forensik.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Mohd Hafiz meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti lelaki itu atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu polis mengesan warisnya.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Hafiz Seleman di talian 016-4507492 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222.
© New Straits Times Press (M) Bhd