LATEST

KKM tidak rancang hadkan akses perkhidmatan kesihatan awam kepada Rakyat Malaysia

KKM tidak rancang hadkan akses perkhidmatan kesihatan awam kepada Rakyat Malaysia

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Baca juga: Verstappen mampu selamatkan Ferrari

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak merancang mengehadkan akses perkhidmatan kesihatan dan fasiliti perubatan awam secara mutlak hanya kepada warga Malaysia, setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mengakui sumber kewangan dan kapasiti sistem kesihatan awam adalah terhad dan perlu diutamakan kepada rakyat Malaysia sebagai pembayar cukai dan penyumbang utama kepada pembiayaan sistem kesihatan awam negara.

Justeru menurutnya, dasar berkaitan penggunaan perkhidmatan kesihatan oleh bukan warganegara sentiasa diteliti bagi memastikan ia tidak menimbulkan beban kewangan yang tidak wajar kepada kerajaan.

“Bukan warganegara yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM adalah tertakluk kepada kadar caj dan syarat bayaran yang ditetapkan oleh kerajaan. Mereka dikenakan caj tanpa subsidi di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014, yang secara amnya adalah berbeza daripada kadar dikenakan kepada warganegara.

“KKM juga melaksanakan pendekatan ‘collect before discharge,’ iaitu memperkukuh kutipan deposit dan bayaran semasa pesakit masih berada di wad, di samping meluaskan penggunaan saluran pembayaran tanpa tunai dan digital bagi memudahkan pesakit membuat bayaran dengan lebih cepat,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang mahu tahu jika ada perancangan di peringkat Kementerian untuk menghadkan akses perkhidmatan kesihatan dan fasiliti perubatan awam hanya kepada warga Malaysia bagi mengelakkan kebanjiran warga asing dan pelarian.

Ia dianggap membebankan kewangan Kerajaan dan pembayar cukai rakyat negara ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya juga sedang memperkukuh pengurusan dan pemantauan Tunggakan dan Akaun Belum Terima (ABT) bil perubatan bukan warganegara, termasuk melalui tindakan kutipan dan pengeluaran notis undang-undang.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan hasil kerajaan dapat dikutip secara optimum dan kos rawatan yang diberikan tidak menjadi beban yang tidak sepatutnya kepada pembayar cukai.

“Bagi golongan pelarian dan pemohon suaka pula, KKM berpandangan bahawa tanggungjawab pembiayaan rawatan tidak sewajarnya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.

“Oleh itu, KKM sedang meneliti pendekatan pembiayaan yang lebih mampan termasuk mewajibkan perlindungan insurans kesihatan bagi memastikan kos rawatan dapat ditanggung melalui sumber pembiayaan yang bersesuaian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, secara prinsipnya, keutamaan penggunaan sumber awam adalah kepada warganegara Malaysia, terutama dalam keadaan kapasiti fasiliti, sumber manusia dan kedudukan kewangan Kerajaan adalah terhad.

“Pada masa sama, KKM perlu mengambil kira keperluan rawatan kecemasan, kawalan penyakit berjangkit serta pertimbangan kemanusiaan dan kesihatan awam yang boleh memberi implikasi kepada keselamatan dan kesihatan masyarakat secara keseluruhan

“Justeru, pendekatan KKM pada masa ini adalah bukan dengan menutup akses secara mutlak kepada bukan warganegara tetapi dengan memastikan akses itu dikawal melalui dasar caj, syarat bayaran dan mekanisme kutipan dan tuntutan bayaran yang bersesuaian, supaya kepentingan rakyat Malaysia dan kelestarian kewangan sistem kesihatan awam terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan penyelesaian jangka panjang terhadap isu tunggakan bil perubatan pesakit bukan warganegara memerlukan pendekatan rentas kementerian dan agensi.

Katanya, KKM berharap kementerian dan agensi berkaitan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan kawalan terhadap kemasukan serta pengurusan warga asing terutama membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news