Paris: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sebulat suara menyokong Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Philippe Diallo, untuk mencabar penyandang, Gianni Infantino, dalam pemilihan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Mac tahun depan.
Baca juga: Skandal di pejabat
UEFA dalam kenyataannya memaklumkan Diallo sudah menerima jemputan untuk bertanding pada pemilihan yang dijadual berlangsung di Kongres FIFA di Rabat, Maghribi, pada 18 Mac 2027.
Sokongan itu turut mendapat persetujuan sebulat suara daripada kesemua 55 persatuan ahli badan induk bola sepak Eropah berkenaan.
Pencalonan Diallo dijangka disahkan dalam mesyuarat FFF, esok, manakala tarikh akhir bagi calon lain mengisytiharkan hasrat bertanding ialah esok.
UEFA yang dipimpin Presiden Slovenia, Aleksander Ceferin, sebelum ini lantang menentang kepemimpinan Infantino susulan cadangan beliau pada Julai lalu untuk menjual kepentingan dalam Piala Dunia kepada pelabur swasta.
Cadangan itu akhirnya dibatalkan selepas mencetuskan bantahan meluas, namun UEFA meneruskan tindakan undang-undang di Florida bagi mengumpulkan bukti berhubung kemungkinan aduan salah urus jenayah terhadap Infantino di Switzerland.
Sebelum ini, UEFA dilaporkan berdepan kesukaran mencari calon berwibawa untuk mencabar Infantino.
Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, yang kini mengetuai pembangunan bola sepak global FIFA, pada awalnya dilihat sebagai pilihan utama Eropah, namun beliau tidak berhasrat bertanding.
Sumber dalam pentadbiran bola sepak menyifatkan Wenger sebagai calon pilihan pertama UEFA, manakala Diallo hanya muncul sebagai alternatif selepas bekas pengendali Arsenal itu tidak menyatakan kesediaan untuk bertanding.
Ketua Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF), Victor Montagliani, turut pernah dikaitkan dengan pencalonan itu, namun beliau kemudian menyatakan hasrat mempertahankan jawatan sedia ada.
Sementara itu, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mempunyai 47 ahli sudah mengumumkan sokongan kepada Infantino untuk dipilih semula.
Diallo, 63, sebelum ini menarik balik sokongan FFF terhadap Infantino pada September lalu, dengan menyatakan keyakinan yang diberikan kepada Presiden FIFA itu sudah dikhianati dan hala tuju pentadbiran bola sepak dunia tidak lagi mencerminkan pendirian mereka.
Presiden FFF sejak Januari 2023 itu turut mendapat saingan daripada Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Jepun, Kozo Tashima, serta bekas pemain Tottenham Hotspur, Ramon Vega, yang masing-masing menyatakan hasrat bertanding.
Infantino pula menerajui FIFA sejak 2016 selepas pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung UEFA.
© New Straits Times Press (M) Bhd