am@hmetro.com.my
Baca juga: Anwar puji Kepengerusian ASEAN oleh Filipina, pengisian substantif
Kuala Lumpur: Tabiat berkongsi masalah dan perasaan dengan rakan sepejabat sehingga menerbitkan bibit simpati serta empati dikenal pasti antara faktor utama kes khalwat membabitkan individu berstatus suami atau isteri orang.
Situasi ini berlaku apabila suami atau isteri mula menganggap pasangan mereka tidak lagi ‘menyeronokkan’ menyebabkan mereka mencari tempat mengadu bersama orang lain yang kononnya lebih memahami.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan berkata, tempat kerja kini menjadi medan paling mudah untuk berlakunya hubungan sulit.
“Berdasarkan data profil pekerjaan pelaku, JAWI menganggarkan sekurang-kurangnya lima hingga enam kes khalwat membabitkan rakan sepejabat direkodkan dalam tempoh setahun,” katanya.
Menyentuh mengenai taktik pelaku, Hanifuddin menyifatkan alasan yang diberikan oleh pasangan yang ditangkap berkhalwat sebagai sangat tidak masuk akal, antaranya termasuklah mendakwa sekadar mahu menghantar ubat, mempunyai urusan kerja, atau hanya menghantar makanan.
Di samping itu, trend tangkapan juga berubah di mana kes pada musim cuti lebih tertumpu di hotel kerana berlakunya aktiviti pelancongan.
Manakala pada hari biasa, perbuatan maksiat itu lazimnya dilakukan di kediaman masing-masing sehingga mengundang rasa kurang senang jiran tetangga yang bertindak menjadi pengadu.
Bagaimanapun, operasi penguatkuasaan JAWI tidak terlepas daripada cabaran besar, terutamanya taktik melengah-lengahkan masa dan keengganan pasangan memberikan kerjasama untuk membuka pintu selepas berkhalwat.
“Bagi mendepani situasi itu, JAWI menetapkan tempoh masa kira-kira 15 minit sahaja untuk pesalah membuka pintu sebelum tindakan drastik diambil bersama pihak berkuasa lain bagi mengelakkan gangguan ketenteraman penghuni sekitar,” katanya.
Melihat kepada situasi semasa, Hanifuddin tidak menafikan wujudnya keperluan mendesak untuk menaikkan kadar hukuman bagi kesalahan jenayah syariah itu demi menimbulkan rasa gerun dalam kalangan umat Islam.
Menurutnya, ini kerana kadar denda sedia ada sebanyak RM3,000 dilihat terlalu ringan sehingga menyebabkan pesalah langsung tidak kisah untuk membayarnya.
“Sebagai langkah jangka panjang pula, JAWI menegaskan bahawa program kesedaran undang-undang jenayah syariah serta kempen pencegahan perlu diperkasakan secara menyeluruh merangkumi semua peringkat usia, bermula dari sekolah sehinggalah ke sektor awam dan swasta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd