Manila: ASEAN perlu mempertingkatkan libat urus dengan Myanmar bagi meredakan ketegangan dalaman serta mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baca juga: Bukit Aman, polis Thailand kesan dalang seludup 240kg syabu
Beliau berkata walaupun Malaysia kekal menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN, sebarang pendekatan perlu mengambil kira perkembangan terbaharu di negara berkenaan.
“Kita harus akui mereka juga telah mengambil langkah yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya pada sidang media di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 Nov di bawah kepengerusian Filipina yang bertemakan “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama.”
Beliau berkata beberapa negara anggota ASEAN termasuk Thailand, Vietnam, Laos dan Kemboja telah memulakan libat urus dengan Myanmar selain terdapat juga usaha sedemikian oleh negara lain.
“Ini tidak berlaku sebelumnya dan saya fikir kemajuan ini membolehkan kita mempengaruhi kerajaan Myanmar supaya meredakan ketegangan dalaman,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata saluran diplomatik itu perlu bersifat inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan bukannya tertumpu semata-mata pada pihak berkuasa Myanmar.
“Kementerian Luar juga menganjurkan pertemuan dengan badan-badan lain selain wakil kerajaan Myanmar. Mereka tidak membantah dan saya fikir itu satu kemajuan dari segi hubungan,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa sebarang usaha ke arah mengembalikan penyertaan penuh Myanmar dalam ASEAN mestilah berpaksikan jaminan keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya.
“Apa pun langkah yang kita ambil, pertama kita mesti capai keamanan, keduanya mesti berusaha memulihkan Myanmar untuk kembali sebagai anggota ASEAN,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata pendekatan diplomatik Malaysia telah memudah cara urusan penghantaran pulang lebih 10,300 warga Myanmar di Malaysia dengan keseluruhan kos ditanggung oleh pihak berkuasa negara itu.
Beliau menegaskan aspek keselamatan mereka yang dihantar pulang tetap menjadi keutamaan dan perlu melalui pemantauan bersesuaian.
© New Straits Times Press (M) Bhd