LONDON: Harga minyak jatuh lebih satu peratus pada Isnin apabila tanda pemulihan aliran eksport melalui Selat Hormuz mengukuhkan jangkaan lebihan bekalan, walaupun insiden baharu membabitkan kapal tangki menyerlahkan risiko terhadap eksport Timur Tengah.
Baca juga: Bukit Aman sedang semak identiti lelaki didakwa warga Malaysia maut ditembak di Filipina
Niaga hadapan minyak mentah Brent susut AS$1.67 (RM6.83) atau 1.74 peratus kepada AS$94.17 (RM385.16) setong pada 10.10 malam waktu Malaysia.
Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) pula turun AS$1.14 (RM4.66) atau 1.29 peratus kepada AS$87.42 (RM357.56) setong.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada Jumaat berkata, pasaran minyak global akan kembali mencatat lebihan bekalan pada suku keempat tahun ini.
Keadaan itu didorong pemulihan eksport Timur Tengah yang lebih pantas berbanding pertumbuhan permintaan minyak global, meskipun serangan terhadap aktiviti perkapalan masih berterusan.
“Buat kali pertama sejak konflik AS-Iran bermula, pedagang mula mempertimbangkan secara aktif kemungkinan berlaku lebihan bekalan, bukannya kekurangan berpanjangan,” kata Ketua Penganalisis Pasaran KCM Trade, Tim Waterer.
IEA menganggarkan bekalan minyak akan mencecah purata 105 juta tong sehari pada suku keempat, iaitu 1.7 juta tong sehari lebih tinggi berbanding unjuran permintaan.
Agensi itu sebelum ini menjangkakan pasaran akan mengalami kekurangan bekalan pada suku keempat.
IEA turut memperincikan baki minyak daripada pelepasan rizab terbesar yang dijanjikan negara anggotanya pada Mac lalu.
Sebanyak 71 juta tong dijangka disediakan menjelang akhir Februari, termasuk 15 juta tong diesel bagi meredakan kekangan bekalan pasaran.
Data IEA menunjukkan kira-kira 15 juta tong minyak mentah sehari melalui Selat Hormuz sepanjang 2025.
Goldman Sachs dalam nota pada Ahad berkata, bekalan Timur Tengah dan permintaan minyak berjaya menyesuaikan diri dengan baik ketika berdepan peningkatan risiko perkapalan dan harga yang lebih tinggi.
Bank pelaburan itu menjangkakan minyak mentah Brent mencatat harga purata AS$88 (RM359.93) setong pada 2027, sebelum menyusut kepada AS$78 (RM319.03) menjelang akhir tahun berkenaan susulan lebihan bekalan.
Tanda permintaan lebih rendah di China, pengguna minyak kedua terbesar dunia, turut memberi tekanan kepada harga.
Data terbaharu Biro Statistik Kebangsaan China menunjukkan aktiviti pemprosesan minyak di loji penapisan pada Oktober menyusut dua peratus berbanding bulan sebelumnya dan 8.1 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.
Penyusutan pemprosesan minyak, di samping peningkatan pengeluaran domestik dan import, menunjukkan stok minyak mentah China bertambah sebanyak 492,000 tong sehari pada bulan lalu, berdasarkan pengiraan Reuters menggunakan data kerajaan.
Pengawal Revolusi Iran pada Isnin mendakwa dua kapal tangki minyak terkena periuk api di Selat Hormuz sehingga mencetuskan letupan.
Pasukan itu turut mendakwa enam kapal tangki terbakar dalam beberapa kejadian sama pada Ahad dan Isnin, namun Reuters tidak dapat mengesahkan laporan berkenaan secara bebas.
Penganalisis BMI berkata, pemulihan aliran eksport minyak daripada kumpulan pengeluar OPEC+ masih rapuh, manakala bekalan serantau terus terdedah kepada gangguan baharu.
“Oleh itu, kekangan fizikal terhadap pengeluaran dan eksport, selain perubahan premium risiko geopolitik, akan terus mempengaruhi pergerakan harga sehingga penyelesaian dicapai antara Washington dengan Tehran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd