LATEST

Ancaman siber rentas sempadan cabaran baharu keselamatan ASEAN

Ancaman siber rentas sempadan cabaran baharu keselamatan ASEAN

MELAKA: Serangan siber dan maklumat yang semakin kompleks serta tidak mengenal sempadan negara menjadi antara cabaran keselamatan baharu yang menuntut kesiapsiagaan lebih tinggi dalam kalangan angkatan tentera negara-negara ASEAN.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan teknologi kini mengubah cara angkatan tentera beroperasi.

Baca juga: Kerajaan kekal stabil, tiada keperluan rombak Kabinet, bubar Parlimen – Anwar

Keadaan itu sekali gus memerlukan negara-negara anggota ASEAN memperkukuh kerjasama bagi menghadapi ancaman keselamatan yang semakin saling berkait.

Menurutnya, cabaran keselamatan tradisional masih wujud namun ancaman baharu dan bukan tradisional termasuk siber menuntut pendekatan lebih menyeluruh.

“Ancaman siber dan maklumat tidak mengenal sempadan negara. Bencana alam pula terus memberi kesan kepada masyarakat kita, manakala perkembangan dalam pelbagai domain mewujudkan tuntutan baharu terhadap angkatan tentera masing-masing.

“Tiada negara boleh menganggap tidak akan terjejas oleh perkembangan yang berlaku di luar sempadannya dan tiada angkatan tentera boleh hanya membuat persiapan menghadapi cabaran yang sudah diketahui sahaja,” katanya.

Beliau menyampaikan ucaptama pada majlis makan malam dan merasmikan Mesyuarat Multilateral Ketua-Ketua Tentera Darat ASEAN Ke-27 (ACAMM) dan Mesyuarat Tahunan Sarjan Mejar ASEAN Ke-14 (ASMAM) 2026 di Banda Hilir, di sini malam tadi. – UTUSAN

The post Ancaman siber rentas sempadan cabaran baharu keselamatan ASEAN appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news