LATEST

Polis temukan bakakuk kes remaja maut ditembak disangka pelanduk

Polis temukan bakakuk kes remaja maut ditembak disangka pelanduk

am@hmetro.com.my

Baca juga: Ancaman siber rentas sempadan cabaran baharu keselamatan ASEAN

Ranau: Polis menemui selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang dipercayai digunakan dalam kejadian remaja perempuan ditembak selepas disangka pelanduk, Sabtu lalu.

Senjata api itu ditemui disandarkan pada sebatang pokok di kawasan hutan Kampung Rinangkatan, di sini, hari ini selepas suspek menunjukkan lokasi senjata itu dibuang.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata penemuan itu hasil siasatan susulan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau bersama pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Katanya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian semalam gagal menemukan senjata api yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Susulan itu pasukan polis kembali ke kawasan hutan Kampung Rinangkatan dengan dipandu arah oleh suspek bagi mengesan senjata api terbabit.

“Pasukan bergerak dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau kira-kira jam 12.40 tengah hari sebelum tiba di kawasan tempat letak kenderaan pada jam 3 petang.

“Anggota polis kemudian terpaksa berjalan kaki kira-kira satu jam meredah kawasan hutan sebelum berjaya menemukan selaras bakakuk yang disandarkan pada sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mursalin berkata, pasukan forensik turut menjalankan pemeriksaan terhadap senjata api yang ditemukan bagi membantu siasatan lanjut dan semua barang bukti yang diperoleh akan digunakan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Terdahulu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut terkena tembakan selepas dipercayai disangka pelanduk dalam kejadian di kawasan Kampung Rinangkatan, Sabtu lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news