KUALA LUMPUR: Malayan Flour Mills Bhd (MFM) mencatatkan peningkatan 31.2 peratus dalam untung bersih kepada RM127.2 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, dipacu sumbangan lebih tinggi daripada usaha sama perniagaan ayamnya.
Baca juga: Tiada bukti kukuh syarikat berkait Malaysia punca kebakaran hutan di Indonesia
Untung bersih pengeluar makanan ruji itu meningkat daripada RM96.9 juta dalam tempoh sama tahun lalu, dengan segmen Integrasi Ayam mencatatkan peningkatan terbesar dalam sumbangan pendapatan.
Segmen berkenaan dikendalikan menerusi Dindings Tyson Sdn Bhd (DTSB), syarikat usaha sama yang dimiliki 51 peratus oleh MFM.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, keuntungan selepas cukai DTSB melonjak kepada RM53 juta daripada RM15.7 juta, manakala bahagian keuntungan yang diterima MFM meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM27 juta daripada RM8 juta.
Prestasi lebih kukuh itu disokong jumlah jualan lebih tinggi, terutama menerusi saluran runcit yang merangkumi perdagangan moden dan am serta saluran pengilang.
Peningkatan margin sumbangan serta keuntungan nilai saksama aset biologi, berbanding kerugian nilai saksama pada tempoh sama tahun lalu, turut menyokong prestasi segmen ayam.
Operasi tepung MFM di Malaysia dan Vietnam serta sumbangan lebih tinggi daripada syarikat usaha samanya di Indonesia turut membantu meningkatkan keuntungan kumpulan.
Hasil kumpulan bagi tempoh sembilan bulan meningkat dua peratus kepada RM2.42 bilion daripada RM2.37 bilion, didorong jumlah jualan lebih tinggi.
Keuntungan selepas cukai daripada segmen perdagangan tepung dan bijirin di Malaysia dan Vietnam serta segmen makanan akuakultur meningkat 11.1 peratus kepada RM116.9 juta daripada RM105.1 juta.
Di Indonesia, keuntungan selepas cukai PT Bungasari Flour Mills melonjak kepada RM17.4 juta daripada RM4.7 juta, disokong jumlah jualan tepung dan margin sumbangan lebih tinggi.
Bahagian keuntungan MFM daripada syarikat usaha sama itu meningkat kepada RM5.2 juta daripada RM1.4 juta.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan MFM, Teh Wee Chye, berkata perniagaan tepung dan ayam menyumbang kepada prestasi lebih kukuh sepanjang sembilan bulan, dengan segmen ayam menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan untung bersih.
“Jumlah jualan tepung lebih tinggi di Malaysia dan Vietnam serta menerusi usaha sama kami di Indonesia turut meningkatkan pendapatan. Keputusan memberangsangkan ini memberi kami keyakinan terhadap prospek kumpulan bagi baki tahun ini,” katanya.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, hasil kumpulan meningkat 13.8 peratus kepada RM879.4 juta daripada RM773.1 juta, manakala untung bersih bertambah 16.7 peratus kepada RM41.8 juta daripada RM35.8 juta.
Keuntungan selepas cukai DTSB bagi suku ketiga melonjak kepada RM17.5 juta daripada RM3.9 juta, sekali gus meningkatkan bahagian keuntungan MFM kepada RM8.9 juta daripada RM2 juta.
Peningkatan itu membantu mengimbangi kerugian selepas cukai RM3.3 juta yang dicatatkan PT Bungasari dalam suku berkenaan.
MFM yang ditubuhkan pada 1961 mempunyai jumlah kapasiti pengisaran gandum sebanyak 3.8 juta tan metrik setahun menerusi operasinya di Malaysia, Vietnam dan Indonesia. Kumpulan itu turut menghasilkan kira-kira 60 juta ayam pedaging setahun serta memasarkan
© New Straits Times Press (M) Bhd