LATEST

Polis kesan dua lelaki disyaki larikan beg tangan pekerja gerai makan

Polis kesan dua lelaki disyaki larikan beg tangan pekerja gerai makan

am@hmetro.com.my

Baca juga: Polis temukan bakakuk kes remaja maut ditembak disangka pelanduk

Kota Tinggi: Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes kecurian beg tangan di Medan Selera Sanggar, Kota Tinggi di sini, yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah gerai makanan di medan selera berkenaan, pada jam 3.58 petang.

Menurutnya, kejadian membabitkan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun yang juga pekerja gerai berkenaan.

Katanya, mangsa yang berada di hadapan gerainya didatangi seorang lelaki tidak dikenali mengambil beg tangan yang diletakkan di atas meja.

“Beg tangan itu mengandungi beberapa barangan peribadi milik mangsa dan jumlah kerugian dianggarkan sejumlah RM3,000.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Yusof berkata, siasatan awal mendapati hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian menunjukkan seorang lelaki berlari ke arah sebuah kereta sambil membawa beg tangan milik mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Justeru, katanya, polis sedang giat mengesan dan mengenal pasti kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 019-9089066 atau hadir ke balai polis berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh maksimum 7 tahun atau denda atau keduanya,” katanya.

Terdahulu, tular video yang menunjukkan seorang wanita mengejar lelaki yang dipercayai melarikan beg tangannya.

Lelaki itu kemudian memasuki melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna biru.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news