hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Baca juga: Kelewatan muktamadkan CoC Laut China Selatan undang risiko campur tangan kuasa luar – Anwar
Kuala Lumpur: “Saya tenang sahaja, seperti biasa, saya seorang yang tenang.”
Demikian reaksi Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan susulan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendesak beliau meletak jawatan jika tidak lagi bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak meminta beliau meletak jawatan.
Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah pihak yang mencadangkan namanya sebagai salah seorang Timbalan Menteri.
“Ada Ahli Parlimen (MP) minta saya letak jawatan. Parti saya UMNO dan BN yang cadang nama saya sebagai salah seorang Timbalan Menteri.
“Presiden UMNO tidak minta saya letak jawatan pun. Saya faham parti MP itu terluka sebanyak empat kali. Di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan terkini di Melaka.
“Jika di Sarawak pihak mereka bertanding, mungkin akan kalah untuk kali kelima. Mungkin,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
Ahmad berkata, beliau memahami reaksi pihak berkenaan yang melenting hanya kerana serangkap pantun.
“Maka saya faham hanya dengan serangkap pantun, mereka sudah melenting.
“Saya tenang sahaja, seperti biasa, saya seorang yang tenang,” katanya.
Hari ini media melaporkan, isu pantun sinis Ahmad ketika sidang Dewan Rakyat menyebabkan beberapa Ahli Parlimen PH mendesak beliau meletak jawatan jika tidak lagi bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan.
Antara yang membuat desakan berkenaan ialah Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson); Aminolhuda Hassan (Sri Gading); Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat).
Terdahulu, media melaporkan persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Ahli Parlimen Pontian itu menyelitkan pantun berunsur sindiran ketika menjawab celahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berhubung isu penghapusan tol.
© New Straits Times Press (M) Bhd