saipuladli@mediaprima.com.my
Baca juga: Polis kesan dua lelaki disyaki larikan beg tangan pekerja gerai makan
Kuala Lumpur: Berbanding hanya menunggu peluang, sekumpulan 18 artis muda mengambil langkah berani menemui audien sasaran mereka di universiti tempatan menerusi jelajah kampus bertemakan Lenxy Fest (Festival Lenxy).
Seramai 12 artis berkenaan bernaung di bawah label Lanxy Records Sdn Bhd diketuai Tay Xu Hong atau nama pentasnya, J308 manakala selebihnya artis individu serta pempengaruh.
J308 berkata, jelajah itu membabitkan lima kampus sebelum acara kemuncaknya adalah persembahan utama akhir.
Menurutnya, mereka selesai mengadakan persembahan di lokasi iaitu Universiti Segi pada 25 September, Universiti Taylor’s (7 Oktober) dan Universiti UCSI (14 Oktober) sebelum persembahan di Kolej Universiti Southern di Johor pada 28 Oktober lalu dibatalkan kerana jerebu.
“Persembahan seterusnya di Universiti Multimedia (MMU) Melaka pada 19 November dan acara utama Lanxy Fest: The Final di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) pada 19 Disember.
“Ini adalah kempen penuh untuk perancangan tahun ini dan selain jelajah kampus, kami akan melancarkan satu album pada persembahan final itu.
“Jelajah kampus diadakan kerana penuntut universiti adalah audien dan fokus kami kepada Gen Z,” katanya yang sudah menghasilkan lebih 20 lagu sendiri sebagai penulis lirik, pencipta melodi, komposer serta penyanyi.
Menurutnya, persembahan itu membabitkan semua genre termasuk rock, rap, R & B serta dengan sebahagian besarnya lagu Cina selain Inggeris.
Katanya, di setiap lokasi jelajah kampus, pihaknya turut menjual tiket untuk konsert akhir dan setakat ini, sudah memiliki tajaan daripada segi barangan.
Mengulas mengenai album bakal dilancarkan, J308 berkata, album itu membabitkan semua artis di bawah syarikat yang mengandungi 10 lagu.
“Album itu bukan mengenai masyarakat, cinta, tetapi Gen Z dan bertema ‘have fun, be free’ sesuai dengan remaja sebelum memasuki dunia sebenar.
“Baru-baru ini, kami turut menghadiri Anugerah Muzik Malaysia Boleh (MMBA) 2026 apabila artis kami dicalonkan dalam 11 daripada 15 kategori dipertandingkan.
“Kami memenangi satu anugerah sebagai Artis Baru Popular menerusi HOW1E dan ini satu pengiktirafan kerana ramai artis ternama turut tercalon serta hadir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd