KUALA TERENGGANU: Ladang cili milik TDM Agrobiz Sdn Bhd di Terengganu menjadi ladang cili pertama di Malaysia menerima pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), menurut syarikat induknya, TDM Bhd.
Baca juga: Bekalan pulih, pasaran minyak kembali berdepan lebihan
Sijil itu disampaikan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri bagi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Zaini Abdul Rahman, dalam satu majlis di Wisma TDM, di sini.
Sijil berkenaan diterima Ahli Lembaga Pengarah TDM Agrobiz, Wan Aimi Yusri Wan Ismail dan Pengurus Besarnya, Ts Zharudin Narudin.
Pensijilan MeSTI yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengiktiraf pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan makanan mengikut piawaian ditetapkan pihak berkuasa.
TDM dalam satu kenyataan berkata, pensijilan itu mencerminkan komitmen anak syarikatnya dalam mengutamakan aspek keselamatan, kebersihan dan kualiti makanan sepanjang proses pengendalian serta pengeluaran produk pertanian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin, berkata pengiktirafan berkenaan memperkukuh keupayaan operasi dan standard pengurusan keselamatan makanan TDM Agrobiz.
“Kami melihat pensijilan ini bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan industri, tetapi sebagai asas penting dalam membina keyakinan pengguna serta memperkukuh kredibiliti produk yang ditawarkan,” katanya.
Najman berkata, TDM akan terus menyokong anak syarikat agromakanannya itu dalam meningkatkan kecekapan operasi dan meneroka peluang pertumbuhan mampan sebagai sebahagian usaha mengembangkan portfolio perniagaan kumpulan.
Sementara itu, Zaini berkata, pensijilan MeSTI membantu pengusaha industri makanan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, membangunkan serta melaksanakan sistem pengurusan keselamatan makanan yang lebih teratur.
Katanya, pematuhan terhadap aspek kebersihan, pengendalian dan kawalan keselamatan makanan penting dalam memenuhi keperluan perundangan serta melindungi kesihatan pengguna.
TDM berkata, amalan pengeluaran makanan yang selamat, bertanggungjawab dan berkualiti itu turut menyokong aspirasi TDM Agrobiz untuk menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ia merangkumi Matlamat Pembangunan Mampan Ketiga berkaitan kesihatan dan kesejahteraan serta matlamat ke-12 mengenai penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab.
Pensijilan berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan operasi TDM Agrobiz, selain membuka ruang pengembangan perniagaan menerusi produk yang memenuhi keperluan keselamatan makanan dan jangkaan pasaran.
TDM Bhd yang ditubuhkan pada 1965 ialah syarikat patuh syariah yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dengan perniagaan teras dalam sektor perladangan kelapa sawit dan penjagaan kesihatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd