am@hmetro.com.my
Baca juga: Bangunkan festival muzik anak tempatan menerusi jelajah kampus
Kota Bharu: Kemenangan berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka dijangka menjadi pemangkin kepada kerjasama politik yang lebih kukuh antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kemenangan itu perlu dimanfaatkan untuk memperluas persefahaman, memperkukuh kerjasama dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan kedua-dua gabungan untuk menawarkan kepimpinan serta tadbir urus yang lebih baik kepada negara.
Beliau berkata, pencapaian itu seharusnya membuka ruang kepada persefahaman politik yang lebih mantap antara kedua-dua gabungan.
“Kemenangan ini perlu dimanfaatkan untuk memperluas persefahaman, memperkukuh muafakat dan membina keyakinan rakyat terhadap kemampuan kedua-dua gabungan untuk menawarkan kepimpinan serta pentadbiran yang lebih baik kepada negara,” katanya.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, keputusan PRN Melaka turut menekankan keperluan parti komponen PN, termasuk WAWASAN, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), untuk memperkukuh jentera masing-masing.
Beliau berkata, usaha menambah keahlian dan menubuhkan lebih banyak cawangan tidak seharusnya sekadar bertujuan mencapai sasaran jumlah tertentu, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kekuatan organisasi yang boleh digerakkan secara berkesan, khususnya ketika pilihan raya.
Katanya, setiap parti yang diberi tanggungjawab untuk menampilkan calon perlu mempunyai jentera pilihan raya sendiri yang kukuh.
Tuan Ibrahim berkata, parti komponen lain pula perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu calon, berlandaskan semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama sebagai sebuah gabungan politik.
Sabtu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN dan PN menguasai 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti melebihi dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
Daripada jumlah itu, BN memenangi 21 kerusi, PN memperoleh tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menguasai baki empat kerusi.
© New Straits Times Press (M) Bhd