LATEST

Masih menanti tawaran karya romantik komedi

Masih menanti tawaran karya romantik komedi

puterialia@hmetro.com.my

Baca juga: ASEAN perlu pertingkatkan libat urus dengan Myanmar demi keamanan – Anwar

MENYIFATKAN kerjaya lakonan sekadar hobi, pelakon, Amerul Affendi masih aktif mengusahakan ladang kelapa dan kelapa sawit selain ternakan kerbau di Temerloh, Pahang.

Amerul atau nama sebenarnya Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi berkata, ternakan kerbau itu diusahakan bersama Allahyarham bapanya sejak dua tahun lalu sebelum diuruskan sendiri kini dengan dibantu bapa saudara.

Malah, pelakon serba boleh yang berusia 40 tahun ini juga sanggup berulang-alik dari ibu kota ke Pahang demi menguruskan kebun dan ternakannya.

“Saya memang suka bekerja di kampung, cuma hobi saya berlakon. Saya sudah usahakan ternak kerbau dengan arwah ayah sejak dua tahun lalu dan sekarang saya seorang, cuma ada bapa saudara yang tolong jagakan sekali.

“Ini kerana saya akan ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pahang. Kiranya macam hari bekerja saya ada di kampung, tetapi hujung minggu saya ada di Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.

Biarpun bergelar pelakon terkenal, Amerul tetap tidak melupakan asal-usulnya, malah selesa memilih gaya hidup sebagai ‘orang kampung’.

Ditanya mengapa masih memilih untuk berkebun dan mengamalkan kehidupan desa di sebalik populariti yang dimiliki, Amerul berkata, keputusan itu didorong oleh minat mendalam serta ketenangan jiwa yang dirasainya di kampung halaman.

“Sebab saya memang asal dari kampung, saya memang suka kehidupan di kampung, jiwa saya lebih tenang,” katanya.

Idam genre romantik komedi

Selepas hampir dua dekad berada dalam industri seni, impiannya untuk berlakon dalam naskhah bergenre romantik komedi masih belum tercapai.

Meskipun sering dikenali menerusi pelbagai watak komedi dan bersahaja, Amerul menegaskan dia tidak pernah berniat untuk mengehadkan skop lakonannya pada satu genre tertentu sahaja.

Sebaliknya, Amerul amat meminati kepelbagaian genre filem dan sentiasa terbuka untuk meneroka pelbagai watak demi mencabar keupayaan diri sebagai seorang anak seni.

“Saya suka macam-macam jenis genre filem. Saya suka macam itu sebab saya seorang pelakon, saya tidak boleh hadkan hanya untuk buat watak yang lawak sahaja, untuk berlakon cerita-cerita lawak sahaja ataupun cerita drama sahaja, ataupun cerita aksi sahaja, tidak.

“Saya lebih suka untuk ‘explore’ macam-macam genre filem supaya kita dapat cabar diri dan bagi saya itu memang tugas sebagai seorang pelakon,” kongsinya.

Di kala kebanyakan anak seni sibuk merangka jadual kerja untuk tahun hadapan, Amerul mendedahkan jadual seninya untuk 2027 masih mempunyai kekosongan.

“Setakat ini jadual (kerja filem) untuk tahun 2027 belum penuh lagi sebab saya buat lakonan ini hanya sebagai hobi, jadi saya biarkan dia tidak penuh. Bila saya rasa saya nak buat, saya akan buat,” katanya.

Minat yang mendalam terhadap dunia seni tidak pernah luntur membuatkan pelakon filem Libang Libu ini tidak akan berhenti berlakon selagi mempunyai kudrat dan tenaga.

“Rasanya jiwa lakonan ini sudah mengalir dalam darah saya. Jadi, saya akan tetap terus berlakon sampai saya rasa saya sudah tidak larat atau uzur,” katanya.

Anggap anugerah sekadar bonus

Sementara itu, Amerul yang tercalon dalam Top 10 bagi dua kategori iaitu Aktor Filem Popular dan Aktor Pembantu TV Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-38 ini menganggap ia hanyalah sekadar bonus sepanjang bergelar anak seni.

Amerul bagaimanapun lebih mementingkan karya yang mampu memberi kesan kepada penonton.

“Saya anggap ia (pencalonan) sekadar bonus apabila ada yang menghargai dan meraikan kerja saya, itu sahaja.

“Ini kerana saya lebih mementingkan kerja saya, lebih mementingkan karya saya, lakonan saya. Saya lagi pentingkan orang terhibur, orang berpuas hati dengan naskhah dan watak yang saya lakonkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news