Manila: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kepengerusian ASEAN oleh Filipina tahun ini, khususnya dalam memastikan perbincangan substantif mengenai pelbagai isu berkepentingan serantau.
Baca juga: Kemenangan PRN Melaka, Negeri Sembilan pemangkin kerjasama PN-BN
Beliau berkata Filipina telah melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin dalam mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan, yang menghimpunkan barisan pemimpin negara anggota serta rakan dialog blok berkenaan.
“Saya rasa Filipina telah melakukan yang terbaik, selain semua perbincangan yang berlangsung adalah substantif,” kata beliau kepada media Malaysia di sini hari ini, ketika ditanya mengenai pengalamannya menghadiri sidang kemuncak tersebut.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 November di bawah kepengerusian Filipina, yang bertemakan Navigating Our Future, Together.
Mengulas pencapaian ketika Malaysia memegang tampuk kepengerusian ASEAN tahun lepas, Anwar melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran serta komitmen para pegawai di semua peringkat dalam menjamin kelancaran persidangan.
“Saya bangga dengan penganjuran (oleh) Malaysia…bukan saya yang sebut, sebaliknya negara-negara lain semuanya masih melahirkan rasa kagum,” katanya.
Perdana Menteri berkata maklum balas positif yang diterima, bukan sahaja merangkumi aspek penganjuran, malah melibatkan kandungan serta kualiti pengisian perbincangan yang diadakan sepanjang kepengerusian Malaysia.
Beliau berkata perkembangan yang lebih penting ialah peningkatan komitmen dalam kalangan negara anggota ASEAN, untuk terus memperkukuh kerjasama serantau di sebalik wujudnya perbezaan pandangan.
“Kita juga bangga kerana nampak ada kemajuan, peningkatan komitmen daripada negara-negara ASEAN untuk memupuk semangat kerjasama, walaupun ada perbezaan pendapat dalam kalangan negara,” kata Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN sewaktu kepengerusian Malaysia tahun lepas, yang disifatkannya sebagai antara kejayaan penting kepada perkembangan blok serantau itu.
Beliau berkata persetujuan ASEAN untuk membolehkan Dili mengambil alih kepengerusian pada 2029, menuntut kerjasama dan bantuan berterusan daripada seluruh negara anggota.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Malaysia bersama dengan beberapa negara anggota lain termasuk Indonesia dan Singapura, telah memberikan bantuan bagi memperkukuh kapasiti penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN.
© New Straits Times Press (M) Bhd