LATEST

KDNK Malaysia diunjur berkembang 5.5 peratus suku ketiga

KDNK Malaysia diunjur berkembang 5.5 peratus suku ketiga

PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur meningkat sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 (3Q2026), disokong pengembangan berterusan sektor perkhidmatan dan pembinaan, aktiviti pembuatan yang lebih kukuh serta pemulihan sektor pertanian.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), unjuran itu mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median konsensus pasaran sebanyak 5.3 peratus.

Baca juga: Masih menanti tawaran karya romantik komedi

“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK negara bagi 2026 pada 5.3 peratus, dengan risiko pertumbuhan lebih cenderung ke arah positif,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut firma penyelidikan itu, walaupun unjuran berkenaan sudah berada pada paras tertinggi dalam julat unjuran pertumbuhan rasmi, masih terdapat ruang untuk pertumbuhan lebih tinggi sekiranya aktiviti pembuatan terus meningkat seiring daya tahan sektor perkhidmatan.

Katanya, HLIB menjangkakan sektor perkhidmatan terus mengekalkan momentum pertumbuhan, dengan indeks volum perkhidmatan berkembang 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2026.

“Pertumbuhan itu mencerminkan pengembangan berterusan, meskipun pada kadar lebih sederhana, dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang berkembang 4.9 peratus.

“Selain itu, ujarnya, subsektor maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.5 peratus.

“Kesederhanaan pertumbuhan itu sebahagiannya diimbangi oleh prestasi lebih kukuh dalam sektor perkhidmatan perniagaan dan kewangan yang berkembang 5.7 peratus,” katanya.

Sementara itu, sektor pembuatan dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh, sejajar dengan peningkatan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pembuatan sebanyak 7.8 peratus.

Pertumbuhan sektor berkenaan terus dipacu industri berorientasikan eksport yang berkembang 9.4 peratus, disokong permintaan luar negara yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), susulan kitaran peningkatan global industri semikonduktor yang masih berterusan.

HLIB berkata, perkembangan itu khususnya dapat dilihat dalam pengeluaran papan litar bercetak, komputer dan pemasangan mikro litar bersepadu elektronik, selain peralatan pengukuran, pengujian, navigasi dan kawalan.

“Perkembangan berkenaan dijangka terus menyokong momentum sektor pembuatan dan pertumbuhan ekonomi negara pada suku ketiga tahun ini,” katanya. 

Bank Negara Malaysia (BNM) dijadualkan mengumumkan prestasi KDNK bagi Suku Ketiga 2026 (ST3 2026) esok. – UTUSAN

The post KDNK Malaysia diunjur berkembang 5.5 peratus suku ketiga appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news