BERLIN: Florian Wirtz meledak dua gol manakala Brajan Gruda menyumbang satu jaringan dan dua bantuan gol ketika Jerman membelasah Belanda 5-0 di Berlin, awal pagi tadi untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara.
Baca juga: Perniagaan ayam pacu untung bersih MFM 31.2 peratus
Derry Scherhant dan Nico Schlotterbeck turut mencetak nama selaku penjaring ketika Jerman meratah cabaran pasukan pelawat dalam aksi paling mengagumkan sepanjang enam perlawanan kendalian Jurgen Klopp.
Kemenangan itu juga menjadi kemenangan terbesar Jerman ke atas jiran mereka sejak membelasah Belanda 7-0 pada 1959.
“Kami berharap dapat memberikan hiburan kepada peminat. Perlawanan ini sememangnya menyeronokkan buat kami, terutama pada separuh masa kedua,” kata Wirtz kepada stesen penyiar Jerman, ARD.
Kekalahan itu adalah yang pertama buat Belanda sejak Xavi Hernandez mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih.
Namun, mereka tetap layak ke kelompok lapan terbaik meskipun Greece menewaskan Serbia 1-0, dengan jaringan terakhir Jerman menyebabkan Belanda jatuh ke tangga kedua kumpulan.
Belanda gagal memberikan ancaman di bahagian serangan selepas Jerman menjaringkan gol kedua, selain turut merasai kehilangan kapten yang cedera, Virgil van Dijk di bahagian pertahanan apabila tuan rumah bebas menembusi benteng rapuh mereka.
Sering dikritik kerana gagal memberikan impak seperti diharapkan sejak menyertai Liverpool menerusi perpindahan bernilai tinggi pada 2025, Wirtz kini sudah menjaringkan gol dalam empat perlawanan terakhirnya bersama Jerman.
Jerman sedar hanya kemenangan mampu memberikan mereka peluang cerah untuk mara ke suku akhir, dengan Klopp menyifatkan pertemuan itu sebagai aksi ‘final’.
Perlawanan yang menemukan semula dua pasukan selepas final Piala Dunia 1974, yang menyaksikan Jerman menewaskan Belanda di Munich, bermula dengan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru melancarkan serangan.
Belanda memperoleh peluang terbaik pertama apabila Jurrien Timber menemui Crysencio Summerville yang tidak dikawal di kawasan penalti, namun pemain sayap itu hilang imbangan sebelum sempat melepaskan percubaan.
Selepas setengah jam permainan, Scherhant yang dilahirkan dan dibesarkan di Berlin menyambut hantaran lintang rakan sepasukannya di Freiburg, Philipp Treu, namun percubaannya hanya menggegarkan tiang.
Sembilan minit kemudian, Scherhant sekali lagi memperoleh peluang di kawasan sama dan kali ini melepaskan rembatan lencong menarik yang menewaskan penjaga gol sebelum bola menerjah ke dalam gawang.
Jerman meneruskan asakan ke kawasan penalti Belanda selepas rehat apabila Wirtz menggandakan jaringan menerusi aksi individu menarik pada minit ke-60.
Schlotterbeck kemudian menanduk masuk hantaran sepakan percuma Gruda pada minit ke-65.
Enam minit selepas itu, pemain sayap RB Leipzig berkenaan sekali lagi mencipta bantuan gol apabila melakukan larian pantas di sebelah kanan sebelum menemui Wirtz yang melepaskan rembatan kencang.
Dalam penampilan pertamanya bersama Jerman di laman sendiri, Gruda kemudian turut mencetak nama selaku penjaring apabila menyudahkan bola muntah hasil percubaan Scherhant yang terkena tiang.
“Kami tidak kisah siapa lawan kami. Kami mahu bermain bola sepak menyerang, menjaringkan gol dan menguasai perlawanan. Saya fikir kami melakukannya dengan sempurna.
“Kami mahu meneruskan momentum ini tahun depan. Kami mahu menjadi lebih baik,” kata Wirtz.
© New Straits Times Press (M) Bhd